• 05 Mei 2024 | 26 Syawal 1445

Terengganu FC Kekal Enam Pemain Import

KUALA TERENGGANU, 5 Februari - Terengganu Football Club Sdn Bhd mungkin akan mengekalkan jumlah enam orang pemain import dalam selaras langkah pasukan untuk berbelanja secara berhemah pada musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutif TFCSB, Mohd Sabri Abas memaklumkan, itu pendirian pasukan setakat ini sebelum Liga Super Malaysia 2024 bermula pada Mei.

"Buat masa sekarang, kita kekal dengan enam (pemain import) sebagai langkah kita berbelanja secara berhemah. Ini kerana, kita bukan hendak penuhi kuota semata-mata, sebaliknya kita kena tengok dari segi kepentingan posisi pemain yang ingin diambil.

"Kita yakin pemain tempatan juga mampu bersaing dengan kelompok pemain import dalam saingan liga Malaysia. Saya sendiri melihat kekuatan Terengganu FC, kita mempunyai skuad 'depth' yang boleh dikatakan cukup berpotensi di setiap posisi.

"Kita mengambil pemain import untuk membantu kita di beberapa posisi tertentu (sahaja)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman 2024/2025 di antara Hijraa Management Sdn Bhd dan Terengganu Football Club, di sini semalam.

Dalam majlis berkenaan, pihak Hijraa Management diumumkan sebagai rakan kerjasama terbaru Terengganu FC dengan tajaan berjumlah RM250 ribu bagi musim 2024/2025.

Ahli lembaga pengarahnya, Dr. Hazmuhaimin Hashim memaklumkan, penglibatan kali pertama syarikat itu sebagai penaja pasukan bola sepak merupakan satu pengalaman baharu yang menarik.

 "Pertamanya, sebagai anak Terengganu kita bangga dengan pencapaian Terengganu FC sendiri. Jenama ini (Terengganu FC) adalah jenama yang sedang meningkat dan kita rasa ini peluang terbaik untuk kita bekerjasama disamping memperkasakan perkhidmatan.

"Jumlah penajaan adalah sebanyak RM250 ribu dalam bentuk tunai, dan selebihnya dalam bentuk panel perkhidmatan penjagaan kesihatan dengan jumlah keseluruhan bernilai RM500 ribu," ujarnya.

Setakat ini, Terengganu FC telah menerima tajaan keseluruhan hampir RM7 juta melibatkan tajaan tunai dan keperluan tajaan dalam bentuk lain.

Mohd Sabri turut membuka pintu kepada mana-mana syarikat dan agensi untuk bekerjasama dengan Terengganu FC bagi musim 2024/2025 sebelum liga bermula.

"Kita masih lagi mencari penaja yang sudi berkolaborasi dengan kita menjelang sepak mula liga kerana kita akan melalui musim yang panjang tahun ini yang akan berakhir pada Mei 2025," katanya.

 

 


Tag: