• 24 Jul 2024 | 17 Muharam 1446

Terengganu Fokus Tiga Jenis Sisa Buangan

KEMAMAN, 28 Jun - Terengganu memberi fokus kepada tiga jenis buangan iaitu minyak masak terpakai, plastik dan tekstil. 

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat berkata, secara keseluruhannya 100 orang peserta daripada komuniti yang terpilih telah mengikuti siri bengkel latihan di mana mereka telah diajar tentang pengenalan dan pengasingan bahan buangan terpakai serta penghasilan produk daripada bahan buangan.

Katanya, beberapa siri bengkel latihan untuk tekstil dan bengkel latihan ‘precious plastics’ akan berjalan sehingga awal Julai.

"Melalui inisiatif ini, kami berharap akan muncul lebih banyak peluang yang berpotensi untuk membantu komuniti dalam menjana pendapatan sampingan melalui penjualan produk yang berjaya dihasilkan.

"Untuk aktiviti terakhir, pihak kami akan mengadakan program kesedaran alam sekitar di sekolah-sekolah yang terpilih mulai dari bulan Julai,"ujarnya.

Hanafiah yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutup Program Ekonomi Kitaran (Minyak Masak Terpakai) 2024 yang telah berlangsung di 3R Centre, Jalan Feri Lama, hari ini.

Katanya lagi, bengkel yang telah diadakan itu merupakan salah satu kempen kesedaran kepada semua bagi menjaga kebersihan persekitaran yang melibatkan rakan strategik, rakan kongsi dan komuniti.

Tambahnya, pengisian program tersebut berkait rapat dengan aktiviti masyarakat setempat.

"Semua usaha murni ini mestilah dijalankan secara berterusan dengan kerjasama semua pihak yang terlibat.

"Penglibatan semua pihak dalam menyumbang barang buangan terpakai seperti sumber plastik, minyak masak terpakai dan tekstil secara berterusan bagi kegunaan komuniti untuk menghasilkan produk amatlah dialu-alukan," ujarnya lagi.

Program tersebut merupakan anjuran oleh Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS), Yayasan Hijau Malaysia(YHM) dan Impaclution Sdn. Bhd. dan telah disambut baik oleh Majlis Perbandaran Kemaman (MPK).

 


Tag: