• 28 Apr 2024 | 19 Syawal 1445

Terengganu FT Pertaruh Kudrat 'Anak Malaysia' Hadapi MPFL 2024

KUALA TERENGGANU, 17 Februari - Terengganu Futsal Team (Terengganu FT) tampil sebagai satu-satunya pasukan tanpa pemain import dalam saingan Malaysia Premier Futsal League (MPFL) Divisyen 1 yang bermula hari ini.

Ketua jurulatih, Rozairi Ahmad menyifatkan, ia satu cabaran besar buat pasukan terbabit dalam menempatkan diri di kalangan pasukan terbaik Liga Futsal Kebangsaan itu berikutan ketujuh-tujuh pesaing memiliki tenaga import.

"Untuk tahun ini, persedian pasukan menampilkan sepenuhnya pemain tempatan dengan 80 peratus merupakan tonggak bawah 21 tahun (11 pemain) yang bersaing di Sukan Malaysia (SUKMA).

"Manakala, hanya 30 peratus 'muka lama' yang dikekalkan dari tahun lepas. Boleh dikatakan ia merupakan pasukan baharu yang diketengahkan. Dari segi senior, ada dua pemain baru iaitu Alif Mat Amin dari Pahang Rangers dan bekas pemain KL City FC, Akram Mukhriz.

Tetapi dari segi positifnya, ia merupakan pendedahan awal terutama kepada pemain SUKMA, mungkin jika ia tidak berhasil di MPFL kita akan dapat sesuatu di SUKMA pada Ogos nanti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Menandatangani Memorandum dan Persefahaman KOMII sebagai penaja kit rasmi Pasukan Futsal Terengganu bagi musim 2024 di DSH, Batu Burok, baru-baru ini.

Majlis ini ditandatangani oleh Pengarah Urusan KOMII, Ameer Asraf Abllah dan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Ahmad Shahrizal Yahaya yang disaksikan Presiden PBSNT, Hishamuddin Abdul Karim.

Menurut Rozairi, pertemuan menentang KL City FC malam ini bakal menguji langkah pertama skuad kendaliannya.

"Kita tidak lawan mereka tahun lalu kerana berlainan kumpulan, tetapi kalau tengok pada rekod, kita bagus melawan mereka lebih-lebih lagi kita ada kelebihan sebagai tuan rumah pada perlawanan pertama ini.

"Cuma, kita tidak tahu tentang duo import mereka yang dimaklumkan daripada Korea Selatan dan Afghanistan, tetapi kekuatan kita di rumah sendiri agak tinggi," katanya.

Justeru, beliau berharap penyokong futsal Terengganu dapat menggamatkan Stadium Negeri malam ini dengan sorakan yang mengentarkan lawan.

 

 

 

 

 


Tag: