• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

Terengganu Garis Usaha Atasi Masalah Penceraian

KUALA TERENGGANU, 28 November- Fokus ketiga Belanjawan Terengganu 2024 iaitu 'Mensejahterakan Kehidupan Rakyat' perlu dilihat secara serius dalam memastikan negeri itu mampu melahirkan generasi masa hadapan berkualiti.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed berkata, elemen yang diterapkan seharusnya berupaya memberi nilai tambah kepada institusi kekeluargaan terutama membabitkan kes-kes penceraian di kalangan pasangan Muslim.

"Dukacita, realiti menunjukkan kadar penceraian di negara ini meningkat dengan begitu ketara. Daripada 43,936 kes pada tahun 2021 kepada 62,890 kes pada tahun lalu dengan mencatatkan peningkatan 43.1 peratus.

"Ia merupakan kadar tertinggi direkodkan sejak 2016 di mana perceraian pasangan Muslim meningkat 45.8 peratus iaitu 46,138 kes (2022) berbanding 31,650 pada tahun 2021.

"Di Terengganu  pula, direkodkan sebanyak 6,565 kes membabitkan pasangan Muslim pada tahun 2020 sehingga Oktober 2021," katanya ketika membahaskanBelanjawan Terengganu 2024 pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 (Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Jelasnya, ia merupakan angka yang besar dan wajar diberi perhatian.

"Justeru, saya memandang serius kepada semua strategi yang terangkum dalam sebagai fokus ketiga untuk melahirkan generasi hadapan yang lebih berkualiti dan menambahkan keselesaan taraf hidup," katanya.

Melalui fokus ini, Belanjawan Terengganu 2024 menggariskan beberapa pelaksanaan tertumpu kepada tema 'Pemantapan Institusi Keluarga'.

Antara pelaksanaan yang diutamakan adalah program-program pasca perkahwinan serta perkhidmatan psikososial dan kesihatan mental pasangan.

 


Tag: