• 08 Mei 2024 | 29 Syawal 1445

Terengganu Gondol Tiga Anugerah Festival Floria Diraja Putrajaya 2018

Kontijen Terengganu bergambar di hadapan Laman Sri Terengganu



KUALA TERENGGANU - Kontinjen Terengganu berjaya membawa pulang tiga anugerah dalam festival Floria Diraja Putrajaya 2018 termasuk pengiktirafan tertinggi iaitu Floria Garden Prime Award dengan mempertaruhkan taman berkonsepkan warisan laman istana lama yang menerapkan nilai estetika landskap Melayu nusantara.

Jabatan Pelancongan negeri dalam satu kenyataan memberitahu, Terengganu turut meraih dua lagi anugerah lain iaitu Flora Garden Award dan Royal Floria Garden of Malaysia Award dalam festival tersebut.

Penyertaan yang membawa konsep laman istana lama yang dikenali sebagai Laman Sri Terengganu turut mengetengahkah hiasan yang merangkumi ruang pintu masuk utama, ruang santai dan rumah bujang telah berjaya menarik perhatian juri sekali gus membolehkan pasukan negeri merampas takhta kejuaraan daripada penyandang bertahan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Berdasarkan rekod, kontinjen negeri ini pernah merangkul anugerah kreatif dalam penganjuran sama pada 2006 di samping anugerah starlight (2015).

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Norashikin berkenan melawat Laman Sri Terengganu selepas merasmikan festival Floria Diraja Putrajaya 2018


Penganjuran festival yang dirasmikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam meletakkan Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan sebagai satu destinasi dalam peta festival bunga-bungaan sedunia.

Festival Floria Diraja Putrajaya 2018 bermula 25 Ogos hingga 2 September depan dibuka kepada orang ramai dari jam 9 pagi hingga 10.30 malam (Isnin hingga Khamis) dan 9 pagi hingga 12 tengah malam (Jumaat hingga Ahad).

Bertemakan 10 Kegemilangan Floria, yang berlangsung di Anjung Floria, selaras dengan hasrat kerajaan dalam menjadikannya setaraf dengan Festival Tulip Belanda yang diadakan di Keukenhof, Belanda setiap tahun,



Tag: