Berita :
Terengganu Himpun Delegasi Serantau, Pacu Agenda ‘Satu Ummah’
Terengganu Himpun Delegasi Serantau, Pacu Agenda ‘Satu Ummah’
Husaif Mamat
3 jam yang lepas
87

KUALA NERUS, 2 April - Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah dan Himpunan Alam Melayu 2026 membuka tirainya hari ini dengan menghimpunkan perwakilan, tetamu dan pempamer dari Malaysia, Brunei, Filipina, Indonesia, Singapura, Patani dan Vietnam sekali gus menjadi satu isyarat jelas bahawa Terengganu mahu menjadikan rantau Alam Melayu sebagai medan perpaduan ummah di tengah cabaran global yang semakin mendesak.

Pengarah Program, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi menegaskan program selama tiga hari hingga 4 April itu bukan sekadar acara bersifat simbolik, sebaliknya satu langkah strategik Kerajaan Negeri Terengganu untuk mendepani realiti semasa yang semakin mencabar, khususnya perpecahan dalaman ummah dan tekanan arus globalisasi.

Beliau berkata, tema 'Satu Ummah' yang diangkat pada penganjuran kali ini membawa misi yang jauh lebih besar daripada perhimpunan biasa, iaitu membina semula kekuatan umat melalui jaringan serantau yang kukuh, pengukuhan identiti, dan tindakan yang boleh dilaksanakan secara nyata.

Menurutnya, objektif pertama program itu ialah memperkukuh ukhuwah sesama umat Islam dan masyarakat Alam Melayu dengan membina jaringan kesatuan yang melangkaui sempadan geografi dan negara.

Ujarnya, dalam suasana dunia yang semakin berpecah dan sarat dengan pengaruh luar, beliau menyifatkan usaha mempertemukan tokoh, delegasi dan masyarakat dari pelbagai wilayah sebagai satu keperluan, bukan lagi pilihan.

Pada masa sama, katanya, program itu turut digerakkan untuk mengukuhkan jati diri umat melalui usaha menghidupkan semula tradisi, adab dan warisan Alam Melayu yang dibentuk serta disulami dengan nilai-nilai Islam yang tinggi.

“Ini bukan soal nostalgia semata-mata, tetapi soal membina semula kekuatan identiti agar umat tidak hanyut dalam gelombang globalisasi yang mencairkan akar budaya dan pegangan hidup,” katanya.

Dr. Muhammad Khalil turut menegaskan bahawa karnival berkenaan mesti melahirkan hasil yang lebih konkrit, terutama dalam merumuskan langkah-langkah praktikal yang boleh dilaksanakan segera, khususnya dalam memperkukuh ekonomi dan pendidikan ummah.

Katanya, platform seumpama itu perlu dimanfaatkan untuk mencari 'low hanging fruit',  iaitu tindakan awal yang realistik, boleh dicapai dan memberi kesan langsung kepada masyarakat, bukannya sekadar berhenti pada retorik seminar atau semangat acara.

Sepanjang tiga hari penganjuran, perkarangan stadium berkenaan akan menjadi lokasi pelbagai pengisian ilmu, rohani dan kebudayaan, termasuk empat sesi Persidangan Meja Bulat Alam Melayu, pameran jualan, serta aktiviti lapangan yang menampilkan kehebatan tamadun Alam Melayu.

Malam ini pula, program itu akan diserikan dengan Malam Melayu Berselawat, yang menurut beliau menjadi antara pengisian penting bagi menyuburkan rasa cinta kepada Rasulullah SAW, di samping mengikat dimensi rohani dalam agenda besar penyatuan ummah.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan