• 03 Nov 2024 | 01 Jamadil Awal 1446

Terengganu Honey House Pusat Sehenti Jual Produk Madu

KUALA NERUS, 20 Mei – Terengganu Honey House akan menjadi ‘one stop centre’ sebagai premis jualan dan bekalan madu tempatan tulen serta berkualiti, pertama di negeri dan juga di Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata ‘Honey House’ sebagai perintis dan langkah itu juga antara usaha kerajaan untuk mengangkat industri kelulut sebagai sumber pendapatan baharu yang mampan dan kukuh.

“Kita akan tengok sejauh mana perkembangannya dan kerajaan negeri bersedia untuk mengembangkannya kepada saiz yang lebih besar jika potensinya meningkat dari semasa semasa dan ketika ini kita letak asasnya dahulu disamping program promosi akan berjalan secara berterusan.

“Jadi pelancong yang berkunjung ke Terengganu, kita syorkan ‘Honey House’ menjadi tempat kunjungan wajib untuk singgah kerana mempunyai  madu  berkualiti,” ujarnya selepas merasmikan pusat sehenti tersebut  di Kampung Wakaf Tembusu semalam.

Tambahnya, insdutri madu antara  fokus dalam Pelan Strategik Pertanian Terengganu sebagai satu sumber pendapatan  kepada pengusaha dan rakyat di negeri ini.

“Kita fokus dua  iaitu yang pertama madu liar dan  keduanya madu ternak yang diambil daripada sumber liar serta diternak sebagai satu sumber industri ternakan.

“Setakat ni produk madu Terengganu diakui dari segi kualitinya terutama ketika berhadapan dengan isu ketulenan madu...dan kita ada mesin yang boleh menentukan ketulenan madu secara saintifik dibawah pengoperasian Universiti Malaysia Terengganu (UMT),” ujarnya.

Menurut Dr Azman, di Terengganu, rasa dan kualiti madu cukup unik kerana ditentukan musim bunga yang tidak terdapat di tempat lain.