• 21 Apr 2024 | 12 Syawal 1445

Terengganu Inc Bantu Ringan Beban 60 Keluarga Asnaf

KUALA TERENGGANU, 3 Mac - Syarikat induk pelaburan kerajaan negeri, Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc), melalui inisiatif Jejak Ramadan, telah mengagihkan bakul makanan dan zakat wakallah berjumlah RM45,000 kepada 60 keluarga asnaf di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk. 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun berkata, melalui program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) tahunan syarikat itu, setiap keluarga menerima pemberian wang zakat sebanyak RM300 , bakul makanan serta pakaian. 

"Bakul makanan dan bantuan wang tunai ini telah dikumpulkan oleh kakitangan Terengganu Inc melalui kutipan sumbangan yang dijalankan sepanjang bulan Ramadan,” katanya dalam satu kenyataan. 

Jejak Ramadan melibatkan penyertaan 50 orang warga kerja Terengganu Inc dalam pengagihan bantuan kepada keluarga asnaf yang telah dikenal pasti di sekitar Chendering, Kampung Raja dan Kuala Ibai melalui kerjasama bersama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).  

Terengganu Inc turut berganding bahu bersama komuniti setempat, Sekolah Kebangsaan Chendering dan Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Kawasan Kuala Terengganu bagi memastikan sumbangan diagihkan kepada golongan yang memerlukan. 

Reaksi positif jelas terpancar pada wajah penerima bantuan setelah menerima kunjungan dan barangan keperluan seperti beras, bihun, gula, minyak masak, biskut raya dan lain-lain lagi. 

“Kami berharap sumbangan bantuan menerusi program Jejak Ramadan dapat meringankan lagi beban komuniti golongan bernasib baik dalam menghadapi perayaan Aidilfitri yang bakal tiba,” ujarnya. 

Sepanjang bulan Ramadan, Terengganu Inc turut melaksanakan program komuniti CSR seperti program agihan bubur lambuk di Masjid Abidin yang merupakan sebahagian daripada acara tradisi dianjurkan syarikat.