• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Terengganu Inc Peruntuk RM11 Juta Laksana CSR Tahun 2023

KUALA TERENGGANU, 28 Februari- Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) telah memperuntukkan sebanyak RM11 juta bagi melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) pada tahun 2023.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi bin Mohamed @ Harun berkata, jumlah itu berjaya memberi manfaat kepada sektor pendidikan, sukan, komuniti, agama, dan pemuliharaan alam sekitar di Terengganu.

Menurutnya, antara inisiatif yang dilaksanakan adalah bantuan banjir, sokongan kewangan kepada ibu tunggal di semua lapan daerah, bantuan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang layak, serta bantuan kemanusiaan antarabangsa kepada Palestin.

"Kita turut memberi sumbangan kepada pendidikan dan sukan termasuk biasiswa YT-TI Young Talent Scholarship (YT-TI) untuk pelajar B40, 
penajaan sukan kepada Terengganu Football Club (TFC), Terengganu Cycling Team (TSG), dan pelumba motorsikal muda negara, Hakim Danish Ramli.

"Kumpulan ini tetap teguh dalam misinya untuk memperkasa komuniti melalui inisiatif strategik dalam menyokong usaha CSR yang menyumbang kepada kemajuan negeri dan rakyat Terengganu," katanya kepada pemberita di program 'Back To School' di Hotel Permai, semalam.

Dalam majlis tersebut, selain meraikan media Terengganu, seramai 30 pelajar dari keluarga kurang bernasib baik daripada Sekolah Kebangsaan Chendering telah menerima kit sekolah dengan barangan yang diperlukan untuk mereka berjaya secara akademik.

"Back To School sepatutnya menjadi masa yang menyeronokkan buat kanak-kanak, tetapi ia boleh menyebabkan cabaran kos buat ibu bapa.

"Matlamat kami adalah untuk 
mengurangkan beban ini buat seisi keluarga dan memastikan pelajar dapat memulakan sekolah dengan persediaan sepenuhnya," katanya.

Dalam masa sama, Kumpulan Terengganu Inc turut komited untuk terus memberi sumbangan yang memberi impak pada tahun 2024, dengan perancangan penajaan kepada TFC, TSG, dan Pasukan Hoki Terengganu (THT).