• 18 Mei 2024 | 10 Zulkaedah 1445

Terengganu Inc Santuni Penduduk Kampung Mak Jintan

KUALA NERUS, 17 April – Syarikat induk pelaburan kerajaan negeri, Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) hari ini menyantuni penduduk di kawasan terpencil dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh bersempena Jejak Ramadan. 

Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun berkata, inisiatif berkenaan merupakan salah satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) tahunan mereka.

“Kita masih lagi mengekalkan tradisi dan amalan terdahulu iaitu Jejak Ramadan. Alhamdulillah bagi tahun ini kita berupaya peruntukkan sumbangan buat 30 keluarga.

“Nilai bagi program ini adalah sekitar RM15,000 termasuklah sumbangan peribadi daripada para kakitangan serta syarikat,” katanya dalam sidang media selepas menyampaikan sumbangan di Kampung Mak Jintan.

Aktiviti ziarah ke rumah penduduk diakhiri dengan majlis berbuka puasa bersama warga penduduk yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim.

Burhanuddin turut menyatakan Terengganu Inc amat berbesar hati memilih kampung Mak Jintan sebagai lokasi bagi Jejak Ramadan 2023.

“Tahun lepas kita ke satu kampung di Ajil, tahun depan insh-Allah akan teroka tempat lain pula yang memerlukan,” tambahnya.

Kesemua 30 ketua keluarga asnaf di kampung berkenaan menerima wang tunai dan barang keperluan harian.

 


Tag: