• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

Terengganu Inc Taja TSG RM2 Juta

KUALA TERENGGANU, 7 Mac - Anak Syarikat Kerajaan Negeri, Terengganu Inc menaja pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) sebanyak RM2 juta untuk meningkatkan lagi momentum bagi menghadapi saingan musim 2024.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata, tajaan tersebut melibatkan anak-anak syarikat Kumpulan Terengganu Inc seperti EPIC Berhad, Manis Fm, Primula Beach Hotel dan Permai Hotel Kuala Terengganu.

Katanya, tajaan itu disalurkan dalam bentuk kewangan dan 'inkind' kepada TSG untuk musim ini.

"Tahun ini, kami mengumumkan sokongan tajaan dari syarikat minyak dan gas, Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC), yang akan membawa jenama syarikat ini ke peringkat yang lebih tinggi.

"TSG juga yakin dalam mengekalkan gelaran juara Jelajah Asia Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) serta menyasarkan rangking tertinggi peringkat dunia UCI," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Menandatangani Kontrak Penajaan Antara Kumpulan Terengganu INC dan Terengganu PRO-ASIA Cycling Team (TPCT) Bagi Tahun 2024 bertempat di Bilik Mesyuarat Utama, Cahaya Restaurant,Permai Hotel Terengganu di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO),  Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli, Ketua Pegawai Eksekutif (TSG), Che Ku Mohd Izmuddin Che Ku Mahmood

Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan EPIC, Muhtar Suhaili, Pengurus Besar Manis Fm, Ozarizan Mohd Nor, Pengurus Besar Permai Hotel Kuala Terengganu, Noralizan Abd Rahman dan Pengurus Besar Primula Beach Hotel Kuala Terengganu, Suaibah Harun.

Tambah Burhanuddin, pada tahun sebelumnya, Kumpulan Terengganu Inc telah memperuntukkan sebanyak RM2 juta dan RM1.5 juta pada tahun 2022.

Menurutnya, ia bagi membantu memperkasakan jenama secara komprehensif serta mengutuhkan hubungan antara kedua-dua pihak.

Sementara itu, Burhanuddin Hilmi optimis TSG mampu memburu kejuaraan menerusi perlumbaan PETRONAS Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 yang dijadual berlangsung dari 29 September hingga 6 Oktober, tahun ini.

"Saya yakin juga penajaan musim hadapan ini menjadi mendorong kearah pasukan ini untuk mengharumkan nama Malaysia dalam kejohanan akan datang seperti Tour de Taiwan di mana mereka akan bersaing dengan pasukan teratas yang lain," katanya.

 

 

 


Tag: