• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Terengganu Kekal Juara Sukan SUK SeMalaysia


Kontinjen Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Terengganu mengekalkan penguasaan apabila muncul juara buat kali kedua pada temasya Sukan SUK SeMalaysia VI di Johor yang menutup tirainya hari ini.

Terengganu muncul juara pertama kali pada kejohanan di Pulau Pinang dua tahun lalu.

Kontinjen yang diketuai Timbalan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berjaya mencapai sasaran johan keseluruhan selepas meraih tiga emas, masing-masing bagi acara sepak takraw, bola jaring dan bola sepak, manakala dua gangsa daripada acara tenpin boling dan badminton.


Kejayaan gemilang itu turut diraikan SUK Terengganu, Dato' Wan Nawawi Wan Ismail dan Timbalan Setiausaha Kerajaan (TSUK) (Pengurusan),  Zainal Abidin Hussin dan TSUK (Pembangunan), Dato’ A Rahman Yahya bersama 151 atlet yang mewakili lapan acara di temasya berkenaan.

Terengganu bersaing hebat dengan kontinjen Sabah dan Sarawak, sepanjang  temasya lima hari bermula 22 September lalu itu. Sabah muncul naib johan dengan dua emas, dua perak dan tiga gangsa, manakala tempat ketiga Sarawak dengan pungutan dua emas dan dua gangsa.


Sukan SUK SeMalaysia merupakan satu program dwi tahunan yang diadakan khusus bagi merapatkan hubungan antara kakitangan perkhidmatan pejabat-pejabat SUK seluruh negara, mula diperkenalkan pada 2004 di Melaka, diikuti Sabah, Pahang, Sarawak  dan 2014 di Pulau Pinang.



Tag: