• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Terengganu Komited Mahu Terus Majukan Tanah Terbiar



Oleh : Hidayah Azlin

SETIU, 27 Ogos – Terengganu mengulangi hasratnya untuk terus membangunkan tanah pertanian terbiar bagi menjana pendapatan baharu kepada ekonomi rakyat dan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, keluasan tanah pertanian terbiar di seluruh Terengganu sama ada hak persendirian atau syarikat adalah berjumlah 12 ribu hektar.

Katanya, pada masa ini seramai 1,150 orang terlibat dalam usaha memajukan tanah terbiar di negeri Terengganu yang melibatkan Daerah Setiu, Hulu Terengganu dan Besut.

“Dari segi kejayaan memajukan tanah terbiar ini, Terengganu berada di kedudukan kedua selepas negeri Pahang dan kita akan terus bekerja keras bagi memajukan tanah-tanah tersebut.

“Setiu merupakan daerah yang dikira sebagai daerah pertanian kerana tanah terbiar masih banyak, semasa mesyuarat jawatankuasa tanah Setiu, minit mesyuarat tanah daerah Setiu sangat tebal jika dibandingkan dengan daerah Besut,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Borang 5A Peringkat Daerah Setiu yang disampaikan oleh Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Dewan Tarom, petang semalam.

Dalam perkembangan lain, beliau menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat mengurus dan menjayakan majlis agihan tanah untuk kategori rumah dan pertanian berkenaan.

“Tahniah diucapkan kepada yang bekerja keras sehingga meletakkan Daerah Setiu antara yang terawal yang berjaya mengadakan majlis untuk mengagihkan borang 5A pada hari ini,” tambah beliau.


Tag: