• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

Terengganu, Korea di Fasa Akhir Muktamadkan Kerjasama Pelaburan

BESUT, 24 Februari – Kerajaan Negeri bakal memuktamadkan kerjasama dengan pelabur dari Korea Selatan dalam sektor berkaitan Hidrogen Hijau.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pihaknya telah melakukan beberapa perbincangan serius dengan pihak pelabur dari negara berkenaan. 

“Sebenarnya pelbagai pelabur yang sedang berunding dengan kerajaan negeri dari pelbagai sektor termasuk pembuatan, industri beras dan pelbagai lagi.

“Ada beberapa potensi pelabur dari Korea dan saya sendiri akan pergi ke sana (Korea) selepas ini sebagai keputusan akhir,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Perasmian dan Penyerahan Kunci Pasar Baru Jertih, Besut bertempat di Jertih, Besut di sini hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh, Dr Riduan Mohamad Nor dan ADUN Kota Putera, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman.

Tambah Ahmad Samsuri, terdapat dua bidang kuasa berkaitan pelaburan iaitu di bawah bidang kuasa negeri dan pusat.

“Bagi bidang kuasa pusat, pihak kerajaan negeri sentiasa terbuka untuk berbincang dengan kerajaan pusat untuk berunding apa jua projek.

“Kerajaan negeri juga memberi penekanan terhadap pemilihan kontraktor yang mampu kerana kebanyakan projek tergendala kerana kontraktor yang tidak mampu,” ujarnya.

 


Tag: