• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Terengganu Kunjungi Oman Perkukuh Hubungan Dua Hala

MUSCAT, 19 Mei - Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi, telah mengadakan kunjungan rasmi ke Sultanate Oman dan bertemu dengan Menteri Waqaf dan Hal Ehwal Agama Islam Oman, Dr Muhammed Said Al Mamari.

Dr Khalil berkata Sultanate Oman dan Malaysia mempunyai banyak persamaan antaranya ialah pendekatan toleransi antara agama, kaum dan mazhab yang menatijahkan keharmonian dan kesejahteraan dalam masyarakat majmuk. 

“Mudah-mudahan kunjungan ini dapat mengeratkan lagi hubungan antara kerajaan negeri Terengganu dan Sultanate Oman dalam pelbagai sudut,” katanya dalam hantaran di laman facebook rasmi miliknya pada hari ini.

Beliau berharap agar hubungan yang erat ini akan membuka peluang untuk berkongsi pengalaman dan amalan terbaik dalam pengurusan hal ehwal agama serta mempromosikan nilai-nilai toleransi dan keharmonian dalam masyarakat.

Selain itu, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi juga berkesempatan mengunjungi Mufti Besar Sultanate Oman, Syeikh Ahmed Hamad al-Khalili di Muscat.

“Syeikh Ahmed bin Hamad al-Khalili merupakan salah seorang tokoh ulama terkemuka yang gigih memperjuangkan isu penyatuan ummah, khususnya dalam usaha pembebasan Baitulmaqdis. 

“Semoga Allah memelihara dan memberkati umur beliau untuk terus berkhidmat kepada ummah,” ujar Dr Khalil sambil menzahirkan rasa kagum dan penghargaan terhadap usaha serta dedikasi Syeikh Ahmed dalam memperjuangkan keadilan dan kesejahteraan umat Islam di seluruh dunia.

 

 

 


Tag: