Oleh: Syahida Mohd
KUALA TERENGGANU, 28 Januari – Kerajaan negeri Terengganu melalui Urus Setia Belia, Sukan dan NGO Terengganu Sejahtera bersetuju untuk menyelaras bantuan kebajikan kepada penduduk Acheh, Indonesia yang terkesan akibat banjir besar baru-baru ini, bersama NGO-NGO kebajikan Terengganu yang terlibat dalam gerakan bantuan berkenaan.
Penyelarasan tersebut melibatkan pelaksanaan misi kemanusiaan, kutipan dana serta penyaluran bantuan secara tersusun bagi memastikan usaha kebajikan yang dijalankan lebih berfokus dan memberi impak kepada mangsa terjejas.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Terengganu, Hishammuddin Abdul Karim, penduduk Acheh yang terkesan memerlukan tempoh masa yang panjang untuk pulih sepenuhnya berikutan banyak kediaman ditenggelami lumpur setinggi beberapa meter.
“Menjelang Ramadan yang bakal tiba tidak lama lagi, keadaan ini tentunya amat memilukan buat mangsa yang terkesan apabila rumah mereka dipenuhi lumpur setinggi beberapa meter,” katanya.

Tambahnya, satu pelancaran Tabung Bencana Terengganu: Air Mata Acheh dijadualkan berlangsung pada awal Februari ini dengan penglibatan NGO-NGO negeri yang telah, sedang dan akan melaksanakan misi kemanusiaan ke Acheh.
“Tabung ini diharap dapat menghimpunkan sumbangan sekadar kemampuan daripada kita semua bagi meringankan beban penduduk Acheh,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada NGO-NGO kebajikan Terengganu yang telah mengambil inisiatif awal membantu mangsa banjir, serta menyatakan kesediaan kerajaan negeri untuk bersama-sama menjayakan usaha kebajikan tersebut.
Perkara itu dimaklumkan beliau menerusi satu hantaran Facebook selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Pelancaran Tabung Bencana Terengganu: Air Mata Acheh yang dihadiri wakil-wakil NGO kebajikan Terengganu, awal pagi tadi.
