KUALA NERUS, 14 Jun- Terengganu Football Club (Terengganu FC) bangkit dari ketinggalan 1-0 untuk menang tipis 2-1 ke atas Perak FC dalam saingan Piala FA, malam ini.
Pengendali pasukan, Tomislav Steinbruckner membuat perubahan besar apabila penjaga gol utama yang pulih dari kecederaan, Mohd Suhaimi Husin diturunkan buat kali pertama musim ini mengemudi kubu Terengganu FC.
Dalam perlawanan tersebut, skuad kendalian Yusri Che Lah mengejutkan 20,150 penyokong yang hadir apabila mendahului tuan rumah seawal minit kelima.
Gol pertama perlawanan itu bermula dengan sepakan percuma Sunday Afolabi yang disudahkan Luiz Henrique.
Terengganu FC terpaksa menunggu sehingga minit ke-35 untuk menyamakan kedudukan.
Kesilapan Tommy Mawat menjatuhkan Manuel Ott dalam kotak penalti pada minit ke-33 dihukum oleh Safawi Rasid dua minit kemudian untuk kedudukan 1-1.
Ibarat tonik, Sang Penyu terus menggandakan asakan dan pada minit ke-42, Marin Pilj melakukan rembatan rendah dari luar kotak penalti untuk Terengganu FC selesa dengan kelebihan jaringan pada separuh masa pertama.
Memasuki babak kedua, Sang Seladang lebih agresif mencipta peluang mencari jaringan penyamaan.
Pada minit ke-69, kekasaran Muhammad Firdaus Saiyadi ke atas Nurillo Tuskhtasinov seakan-akan membantutkan peluang pelawat apabila pemain sayap itu dilayangkan kad merah.
Perak FC cuba menghidupkan harapan dengan kemasukan penyerang, Clayton da Silva dan Nur Azfar Fikri.
Namun, gandingan pertahanan tempatan diterajui Shahrul Nizam, Ubaidillah Alias, Safwan Mazlan, Alif Zakaria dan Azam Azmi Murad ampuh sehingga wisel penamat dibunyikan.
Terengganu FC menanti pertemuan Sabah FC dan KL Rover FC esok untuk menentukan lawan mereka di peringkat suku akhir Piala FA nanti.