• 30 Apr 2024 | 21 Syawal 1445

Terengganu Lindung Kepentingan Pengilang Padi Bumiputera

KUALA TERENGGANU, 16 April - Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Padi Negeri Terengganu mempunyai mekanisma kawalan bagi mengelakkan hasil padi negeri ini dijual ke kilang padi di negeri lain.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, jawatankuasa yang dipengerusikan oleh beliau itu melibatkan semua jabatan, agensi dan badan berkaitan dalam kluster padi negeri.

Azman berkata, Terengganu merupakan satu-satunya negeri yang mengawal hasil padi dari dijual keluar dengan kerjasama Bernas.

“Justifikasi kawalan ini disebabkan ketidakcukupan padi dalam kalangan pengilang tempatan dan hasil padi dalam Terengganu.

“Di negeri ini terdapat empat kilang padi yang beroperasi dan tiga daripadanya adalah milik bumiputera,” ujarnya dalam satu kenyataan, semalam.

Katanya, berdasarkan justifikasi tersebut, kerajaan negeri melalui bahagian Kawalselia Padi Beras negeri Terengganu telah melaksanakan beberapa langkah kawalan bagi melindungi kepentingan pengilang bumiputera.

“Antaranya melalui arahan pembekuan semua permit pemindahan padi keluar dari Terengganu.

“Sebaran pemindahan padi tanpa permit adalah merupakan satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994,” ujarnya.

Katanya, selain itu Bernas tidak akan membayar subsidi harga padi kepada petani yang menghantar hasil padinya ke kilang padi di negeri lain.

“Bahagian Kawalselia Padi dan Beras juga menjalankan rondaan dan pemeriksaan berkala di sempadan bagi memastikan tiada pelanggaran arahan dan kesalahan dilakukan.

“Sementara, pihaknya akan membuat pemeriksaan bagi memastikan harga lantai belian padi RM1300/tan di kilang-kilang dalam negeri mengikut ketetapan harga kawalan yang ditetapkan,” ujarnya.