• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Terengganu Lulus 28,260 Permohonan Tanah

KUALA TERENGGANU, 2 April - Kerajaan negeri sudah meluluskan 28,260 permohonan rakyat Terengganu untuk memiliki tanah sejak 2018 hingga Disember 2022.

Menurut Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri, bilangan tersebut walau bagaimanapun tidak termasuk tanah bagi kategori terkilan atau pemberian semula selepas dinafikan hak pada 1999-2004

PTG dalam kenyataan itu memaklumkan, agihan tanah meningkat saban tahun bahkan lebih tinggi berbanding sebelum 2018.

“Pada 2016 jumlah tanah yang diagihkan bagi kategori pertanian dan bangunan atau rumah ialah 974, 2017 (1,915), 2018 (793), 2019 (3,473), 2020 (5,173), 2021 (8,859) dan 2022 (9,962),” jelas kenyataan itu.

Pihak PTG menjangkakan pemberian tanah kepada rakyat akan terus rancak berjalan pada tahun ini.

Ini termasuk pada 30 Mac lalu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi selesai mengadakan majlis agihan tanah kepada penduduk setempat.

Dalam majlis berkenaan, seramai 250 orang peserta daripada enam Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) di Bukit Besi menerima dokumen hak milik tanah.

Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, usaha yang cuba dilaksanakan oleh pihaknya untuk menyegerakan pemilikan tanah akhirnya menatijahkan kejayaan.

"Kita cuba permudahkan apa yang seharusnya dimiliki oleh rakyat. Prosedur ini memakan masa yang lama melibatkan pelbagai agensi,” katanya.

Mengulas lanjut kata beliau, pihaknya akan sentiasa komited untuk menyelesaikan isu berkait dengan tanah bagi memastikan rakyat mendapat hak sebagaimana yang dijanjikan.


Tag: