• 28 Feb 2024 | 18 Syaban 1445

Terengganu Lulus Peruntukan Bina Rumah Musnah Akibat Banjir

KUALA TERENGGANU, 5 Februari - Kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan untuk membina dua buah rumah yang musnah akibat banjir baru-baru ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, dua kediaman tersebut membabitkan daerah Kemaman.

“Baru-baru ini, Kerajaan Negeri melalui Tabung Bencana Negeri telah memberi peruntukan untuk membina dua kediaman mangsa banjir yang musnah di daerah Kemaman," jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Green Mobility Roadshow By Gentari di Wisma Darul Iman, semalam. 

Mengulas tentang kerugian akibat banjir, Tengku Seri Bijaya Raja memaklumkan pihaknya masih dalam proses meneliti laporan dalam empat gelombang setakat ini.

"Ia termasuk laporan daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensi kerajaan di seluruh negeri ini sebelum menyalurkan sebarang bentuk bantuan kepada mangsa yang terjejas.

"Kawasan yang terjejas teruk akibat banjir kali ini ialah Kampung Shukor dan Kampung Raja di Hulu Dungun dan kita sudah mengarahkan pihak PBT untuk menjalankan kerja pembersihan di sana,” ujarnya.

Sementara itu, beliau yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata, mengenai bantuan kewangan pihaknya perlu meneliti keadaan kewangan semasa sebelum menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir di negeri ini.

"Untuk bantuan kewangan pula, kita perlu teliti dahulu laporan daripada agensi terlibat tetapi untuk bantu semua mungkin kita tidak mampu kerana memerlukan peruntukan yang agak besar,” ujarnya.