lightning-solid
Berita :
Terengganu Maju Tanpa Hilang Jati Diri - ADUN Sura
Terengganu Maju Tanpa Hilang Jati Diri - ADUN Sura
Naim Fadhilah Kamaruddin
13 Aug 26
41

DUNGUN, 13 Ogos – Kemajuan Terengganu tidak seharusnya diukur hanya melalui pembangunan fizikal, jumlah pelaburan atau pertumbuhan ekonomi, sebaliknya perlu turut mengambil kira kemampuan negeri membina generasi yang berilmu tanpa kehilangan agama, budaya dan jati diri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin berkata, cabaran sebenar Terengganu bukan memilih antara kemajuan dan tradisi, sebaliknya memastikan kedua-duanya dapat bergerak seiring dalam membentuk masa depan negeri.

Menurutnya, perubahan dunia yang semakin pantas menerusi globalisasi, kecerdasan buatan (AI), media sosial dan keterbukaan ekonomi membawa peluang besar kepada generasi baharu, namun pada masa sama turut mempengaruhi cara mereka memahami agama, budaya, bahasa dan identiti.

“Terengganu tidak perlu menjadi salinan kepada Kuala Lumpur, Singapura, Dubai atau mana-mana wilayah maju di dunia.

“Terengganu perlu mencari kekuatan dan identitinya sendiri dalam perlumbaan pembangunan. Ukuran pembangunan yang lebih besar ialah kemampuan sesebuah masyarakat untuk bergerak ke hadapan tanpa kehilangan identiti, nilai dan akar sejarahnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, pendekatan itu selari dengan kerangka Pelan Induk Terengganu Sejahtera 2030 (PITAS2030) yang menggabungkan pembangunan manusia dan pembangunan ekonomi secara holistik.

Katanya, pembangunan manusia perlu memberi perhatian kepada pembentukan rakyat yang beragama, bermasyarakat dan berkebajikan, manakala pembangunan ekonomi pula perlu memberi tumpuan kepada pengukuhan sumber pendapatan serta pembukaan ruang ekonomi baharu kepada negeri.

“Antara asas penting dalam PITAS2030 ialah pematuhan kepada prinsip Islam, meletakkan insan berkualiti sebagai aset terpenting negeri serta menekankan pembangunan yang lestari.

“Ini menunjukkan bahawa pembangunan Terengganu bukan sekadar tentang apa yang kita bina, tetapi siapa yang kita bina,” katanya.

Dr Tengku Muhammad Fakhruddin berkata, nilai Islam juga perlu diterjemahkan dalam bentuk yang lebih luas dalam pentadbiran dan pembangunan negeri, termasuk aspek integriti, keadilan sosial, kebajikan rakyat, pembangunan ilmu serta pengurusan sumber secara amanah.

Menurutnya, perkembangan teknologi dan ekonomi baharu tidak seharusnya dilihat bertentangan dengan nilai Islam, sebaliknya boleh dimanfaatkan untuk memperkukuh kesejahteraan masyarakat.

Beliau mengambil contoh pembangunan ladang solar di atas tanah wakaf di Cenderong yang diumumkan pada Jun 2026, membabitkan pelaburan RM1.2 bilion dengan kapasiti 400 megawatt (MW).

“Wakaf tidak hanya dilihat sebagai tanah. Islam tidak hanya dilihat sebagai slogan. Teknologi pula tidak seharusnya dianggap bertentangan dengan agama.

“Ketiga-tiganya boleh bertemu dalam satu ekosistem pembangunan yang memberikan manfaat kepada rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata cabaran terbesar Terengganu bagi tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang bukan hanya membina lebih banyak infrastruktur, tetapi memastikan modal insan negeri benar-benar bersedia menghadapi perubahan ekonomi dunia.

Katanya, generasi muda Terengganu bakal berhadapan dengan perkembangan ekonomi digital, automasi, kecerdasan buatan, peralihan tenaga, teknologi hijau serta perubahan pasaran pekerjaan yang jauh berbeza berbanding generasi terdahulu.

“Anak-anak Terengganu mesti digalakkan menguasai STEM, teknologi, ekonomi, bahasa antarabangsa dan kemahiran profesional.

“Namun dalam proses itu, ada satu perkara yang tidak boleh hilang, iaitu akar jati diri mereka,” katanya.

Beliau berkata, seorang anak Terengganu mampu menjadi jurutera tenaga bertaraf antarabangsa, pakar kecerdasan buatan atau profesional dalam bidang teknologi, namun pada masa sama tetap memahami agama, menghormati sejarah dan budaya serta mempunyai rasa bangga terhadap negeri dan negara sendiri.

“Boleh bertutur Bahasa Inggeris dengan fasih tetapi tidak malu menggunakan Bahasa Melayu. Boleh mengembara ke seluruh dunia tetapi tetap tahu di mana tanah tempat dia berpijak.

“Inilah pembangunan insan yang sebenar,” katanya.

Menurutnya, penguasaan bahasa antarabangsa juga tidak sepatutnya dipertentangkan dengan usaha memperkasakan Bahasa Melayu kerana generasi muda perlu menguasai sebanyak mungkin bahasa yang dapat memberikan kelebihan dalam pendidikan dan ekonomi global.

Katanya, Bahasa Melayu pula perlu terus diperkasakan sebagai bahasa ilmu dan bahasa yang membawa sejarah, nilai serta memori masyarakat.

“Negara seperti Jepun dan Korea Selatan menunjukkan bahawa sesebuah negara tidak perlu membuang bahasa dan kebudayaannya sendiri untuk menjadi kuasa teknologi.

“Mereka mengambil ilmu dari luar, menguasai teknologi dunia, tetapi membangunkannya dalam kerangka masyarakat mereka sendiri.

“Terengganu juga harus mempunyai keyakinan yang sama. Ambil ilmu dari seluruh dunia, tetapi bina masa depan dengan identiti sendiri,” katanya.


Tag :

Artikel Berkaitan