• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Terengganu Naib Juara Piala Emas Raja-raja

Pasukan Terengganu menyandang naib juara Piala Emas Raja-Raja (PERR) Ke-78 selepas tewas tipis 0-1 kepada Pahang. Foto - Harish Fadzillah
Oleh: Wan Luqman Hakim

TEMERLOH, 22 Oktober - Pasukan Terengganu menyandang naib juara Piala Emas Raja-Raja (PERR) Ke-78 selepas tewas tipis 0-1 kepada Pahang di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, Pahang, semalam.

Pahang membuka tirai jaringan pada minit ke-7 menerusi Muhd Hafizi Abd Halim yang melepaskan rembatan kencang menggegar gawang selepas dia menerima umpanan Muhamad Firdaus Abdul Razak.

Terengganu mencuba untuk mencari gol penyamaan namun rembatan Muhammad Afif Sufyan Azman pada minit ke-24 berjaya ditepis keluar oleh penjaga gol tuan rumah, Muhammad Saufi Mohd.


Enggan mengalah sehingga ke saat akhir, Terengganu menggandakan serangan namun kecekapan Mohamad Saufi menjaga gawang berjaya memastikan Pahang muncul juara.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah yang menyaksikan perlawanan tersebut secara langsung di Temerloh berkata, semangat juang tinggi yang ditunjukkan oleh pemain Terengganu cukup membanggakan walaupun tewas kepada pasukan lawan.

"Saya cukup berbangga dengan prestasi pemain-pemain kita.

"Terengganu mula mempamerkan rentak kebangkitan dengan memulakan asakan ke kubu Pahang tetapi beberapa percubaan yang dilakukan tersasar.

"Walaupun kita gagal namun itulah adat permainan dan itulah perkara yang patut kita terima dalam apa jua permainan sekalipun," tambahnya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita hari ini, mengulas tentang perlawanan menentang Pahang bagi merebut Piala Emas Raja-Raja (PERR) Ke-78, semalam.

Wan Sukairi juga sempat mengajak rakyat Terengganu untuk hadir menyokong pasukan Terengganu Football Club (TFC) pada perlawanan akhir TFC menentang Perak.

"Insya-Allah kita akan buat yang terbaik. Terengganu nelang," katanya.

Tag: