• 24 Jul 2024 | 17 Muharam 1446

Terengganu Optimis Capai 1GW Tenaga Solar 2029

MARANG, 10 Julai - Kerajaan Terengganu menyasarkan penghasilan sumber tenaga solar sebanyak satu gigawatt (GW) dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sebagai permulaannya ialah projek solar terapung di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu dengan kapasiti 400 Megawatt (MW).

"Fasa berikutnya adalah sebanyak 600 MW, yang akan membawa kapasiti tenaga solar di Terengganu kepada 1 GW dalam tempoh lima tahun akan datang.

"Sasaran ini juga merangkumi, peningkatan kapasiti penjanaan tenaga boleh baharu, kepada sekurang-kurangnya 31 peratus daripada jumlah keseluruhan kapasiti penjanaan tenaga negara menjelang tahun 2025," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis pelancaran loji janakuasa solar 

Cypark Solar Merchang yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini hari ini.

Beliau menambah, usaha itu juga dapat mengurangkan intensiti pelepasan karbon sebanyak 45 peratus berbanding KDNK pada tahun yang sama.

Berdasarkan rekod, ketika ini jumlah penjanaan tenaga boleh diperbaharui semasa di Terengganu adalah sebanyak 1,012 Megawatt (MW) meliputi solar (333.213 MW), hidro (665 MW), mini hidro (8.7 MW) dan biogas (6 MW).

Ahmad Samsuri percaya, dengan adanya sokongan padu daripada kerajaan persekutuan, pihak swasta dan masyarakat setempat, sasaran tenaga boleh baharu yang telah ditetapkan akan dapat dicapai.

"Pembinaan tenaga boleh baharu ini akan memberikan manfaat rantaian ekonomi kepada masyarakat setempat, melalui penciptaan peluang pekerjaan dan peluang perniagaan, keperluan tenaga kerja dengan menyediakan peluang latihan dan peningkatan kemahiran kepada penduduk setempat. 

"Selain itu, kerajaan negeri juga komited untuk memperkenalkan lebih banyak insentif dan dasar yang mesra alam bagi menarik lebih banyak pelaburan dalam sektor tenaga boleh baharu sebagai salah satu kaedah untuk menjana pendapatan negeri menerusi kerjasama equity dengan syarikat berkaitan negeri (GLC) dari Terengganu sendiri," katanya.


Tag: