• 10 Nov 2024 | 08 Jamadil Awal 1446

Terengganu Optimis Capai Pelaburan Baharu RM5 Billion

KUALA TERENGGANU, 8 April – Kerajaan negeri optimis dapat mencapai jumlah pelaburan masuk ke Terengganu sebanyak RM5 billion tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata sasaran itu ditetapkan berdasarkan kejayaan Terengganu dalam merealisasikan pelaburan masuk bernilai RM2.4 bilion yang dicatat pada bulan Mac lepas.

Katanya, rekod pencapaian tersebut dikeluarkan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).

“Insya-Allah, dengan usaha yang berterusan kita boleh melepasi lebih RM5 billion cuma biarlah kita letak target itu dahulu untuk dicapai pada tahun ini.

"Di samping, ia juga sebagai pemangkin untuk kita menarik lagi pelabur-pelabur untuk datang ke negeri Terengganu bagi tahun-tahun yang akan datang,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) baru-baru ini.

Terdahulu, Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata ECERDC juga berjaya menarik pelaburan komited baharu bernilai RM1.02 bilion dalam pelbagai sektor.

Katanya, seperti sektor minyak, gas dan petrokimia (RM940 juta), perkhidmatan (RM50 juta), pelancongan (RM20 juta), dan pembuatan (RM10 juta) di Terengganu setakat Mac tahun ini berbanding sasaran tahunan bernilai RM5.8 bilion. 

“Sebanyak 65 peratus adalah pelaburan langsung asing (FDI), dengan pelaburan tertinggi dari Jepun iaitu sebanyak RM660 juta.

“Melalui kerjasama erat antara pihak Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan serta sokongan berterusan agensi-agensi berkaitan, beliau percaya ECERDC akan terus meraih kepercayaan pelabur dan menarik lebih banyak pelaburan baharu berimpak tinggi. 

“Ini akan menjadikan negeri Terengganu kekal berdaya saing sebagai salah sebuah destinasi pelaburan utama di Pantai Timur,” ujarnya.

 


Tag: