• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

Terengganu Optimis Pelihara Pembangunan Islam

KUALA TERENGGANU, 29 Disember - Kerajaan Terengganu cukup optimis dan prihatin dalam memelihara pembangunan Islam di bawah kepimpinan Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar demi kegemilangan Islam di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, kesungguhan kerajaan itu turut dipamerkan dalam mewujudkan pembangunan seimbang diantara pembangunan material dan pembangunan kerohanian.

Antaranya ialah dengan penganjuran program Indahnya Hidup Bersyariat: Bicara Daie Ummah Nusantara yang diadakan sempena ambang Tahun Baharu 2024, yang berlangsung hari ini.

"Beberapa siri program telah diatur bermula dari pagi tadi dengan pelbagai aktiviti seperti konvoi, bicara santai bersama ikon anak muda dan kemuncaknya menampilkan pendakwah Nusantara, Profesor Dr Abdul Somad Batubara yang lebih dikenali sebagai Ustaz Abdul Somad.

"Atas kapasiti rasmi majoriti kita sebagai kerajaan negeri, tiada kalimah yang dapat menzahirkan rasa bertuah dan berbangga atas kesudian Ustaz Abdul Somad ke bumi bertuah, negeri Terengganu ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada pertemuan Ustaz Abdul Somad bersama pimpinan negeri di Paya Bunga Hotel, hari ini. 

Turut hadir ialah Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato' Mohd Nor Hamzah serta sebahagian ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Hadir sama ialah Ahli Dewan Negara yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu, Senator Dato' Husain Awang.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 


Tag: