• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Terengganu Pantau Usaha Hidupkan 'Ajaran Ayah Pin'

KUALA TERENGGANU, 17 Mac – Kerajaan Negeri sedang memantau dengan serius usaha untuk menghidupkan semula ajaran 'Ayah Pin' yang telah difatwakan sesat oleh Jawatankuasa Fatwa Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) pada tahun 1997. 

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi, pihaknya serta pihak berkuasa agama sedang menyiasat perkara terbabit.

"Usaha daripada pihak tertentu untuk menghidupkan semula ajaran sesat Ayah Pin yang sebelum ini menimbulkan kontroversi dengan konsep ‘Kerajaan Langit’ sedang dipantau dengan rapi oleh kerajaan.

“Perkara ini sudah dalam makluman dan sedang dalam tindakan pihak berwajib,” katanya ringkas ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, sebuah hantaran di akaun Facebook 'Imam Muda Kulan' mendedahkan ajaran Ayah Pin atau nama sebenarnya Ariffin Muhamad cuba dihidupkan kembali oleh gerakan pihak-pihak tertentu di sekitar Besut. 

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh, Dr Riduan Mohamad Nor ketika ditanya Urus Setia Penerangan Darul Iman berkata gerakan Ayah Pin telah lama menyepi namun kebelakangan ini, beberapa pihak tertentu cuba menghidupkan kembali gerakan yang disebut perjuangan ayah tersebut.

Menurutnya, pihak kerajaan tidak akan berkompromi dengan ajaran sesat dan tindakan tegas akan diambil kepada masyarakat yang terlibat.

Di samping katanya, beliau dan pihak berkuasa akan mendidik masyarakat supaya menjauhi ajaran Ayah Pin yang bercanggah dengan syariat Islam.

“Pihak pentadbiran daerah juga telah bermesyuarat dengan pihak keselamatan untuk menangani gerakan hidupkan kembali ajaran Ayah Pin.

“Kumpulan mereka didakwa telah cuba mengambil ahli-ahli baharu untuk bergabung dalam kelompok mereka.

“Walaupun ajaran ini berpusat di Kampung Batu 13, Besut tetapi ramai ahli-ahli mereka berada di luar kawasan,” jelasnya.

Jelasnya lagi, tindakan pertama kerajaan negeri pada Jumaat, 15 Mac telah dibacakan perwataan Pejabat Agama Daerah Besut oleh Pegawai Daerah tentang ajaran ini semakin menular. 

“Seluruh warga Besut mesti memastikan tiada ahli keluarga dan kelompok kampung mereka terlibat ajaran Ayah Pin yang diwartakan sesat oleh pihak berkuasa agama pada tahun 1997,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga sebelum ini, telah melaksanakan langkah proaktif iaitu pernah menziarahi dan bertemu kelompok Ayah Pin di Kampung Batu 14.

“Kerajaan negeri juga mempunyai perancangan bagi memastikan masyarakat terutama di Hulu Besut tidak terpengaruh dengan ajaran Ayah Pin.

"Sekarang ini mengikut risikan, ajaran ini mula dikembangkan di luar daripada Kampung Batu 13 serta merebak di kawasan Jerteh pun ada, dan juga di sebelah Pahang iaitu pekan Rompin.

Untuk rekod, pemimpin ajaran sesat, Ariffin Muhamad, 74, atau Ayah Pin meninggal dunia di rumahnya di Kampung Batu 13, Hulu Besut, Besut kerana sakit tua.

Bagaimanapun, selepas kematian Ariffin timbul desas-desus bahawa ajaran yang menyeleweng daripada Islam itu masih lagi 'bernyawa'.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 


Tag: