KUALA NERUS, 24 Disember - Kerajaan Terengganu akan terus memperkasa pembangunan fasiliti sukan secara berfasa dan strategik dengan mencontohi model pembangunan sukan negara Thailand yang terbukti berkesan dalam melahirkan atlet berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata pendekatan kolaboratif antara kerajaan, sektor swasta dan institusi pendidikan tinggi di Thailand wajar dijadikan rujukan dalam memperkukuh ekosistem sukan negeri.
Menurut beliau, hasil pemerhatian sepanjang lawatan ke Bangkok mendapati Thailand memiliki kemudahan sukan yang komprehensif dan berkualiti tinggi, bukan sahaja dibangunkan oleh kerajaan, malah diurus secara profesional oleh pihak swasta serta kelab sukan tempatan.
"Fasiliti sukan di sana disediakan secara menyeluruh untuk kegunaan atlet dan rakyat, sekali gus menjadi asas penting kepada pembangunan sukan yang konsisten dan berdaya saing.
"Ini antara faktor kekuatan atlet Thailand berbanding negara lain," katanya ketika berucap dalam Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dan Terengganu Pro-Asia Cycling Team (TPCT) di Ar-Riyadah Residence, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, di sini semalam.

Hishamuddin berkata, meskipun Terengganu tidak memiliki kemudahan sukan setanding negeri-negeri maju seperti Kuala Lumpur dan Selangor, namun negeri ini tetap berjaya melahirkan atlet berprestasi tinggi hasil komitmen berterusan semua pihak.
"Sekiranya fasiliti yang disediakan dapat dipertingkatkan ke tahap lebih baik, saya yakin Terengganu berpotensi melahirkan kekuatan sukan setaraf dengan negeri dan negara maju," tambahnya.
Beliau turut menekankan peranan aktif universiti di Thailand yang menjadi pusat pembangunan sukan, termasuk penganjuran kejohanan dan pembangunan e-sukan secara agresif, sekali gus memperluas bakat sukan dalam kalangan belia.
Menurut beliau, MoU yang dimeterai antara UniSZA, MSNT dan TPCT merupakan langkah penting ke arah memperkukuh kerjasama strategik dalam aspek latihan, penyelidikan, pembangunan bakat dan penggunaan fasiliti sukan secara optimum.
Kerajaan negeri, katanya, akan terus menyokong inisiatif kolaborasi seumpama itu bagi memastikan pembangunan sukan Terengganu lebih tersusun, mampan dan berdaya saing pada masa hadapan.