lightning-solid
Berita :
Terengganu Perkukuh U-BES Lahirkan Usahawan Berprestasi Tinggi
Terengganu Perkukuh U-BES Lahirkan Usahawan Berprestasi Tinggi
Mastura Jamal Din
24 Sep 25
250

KUALA TERENGGANU, 24 September  – Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) bersedia berkongsi kaedah serta penambahbaikan Program Usahawan Belia Sejahtera (U-BES) bagi melahirkan Usahawan Berprestasi Tinggi (UBT) di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato’ Ariffin Deraman berkata, usaha itu dilihat penting dalam memastikan anak muda bukan sahaja mampu memulakan perniagaan tetapi turut berkembang seiring dengan tuntutan pasaran semasa.

“Kerajaan negeri melalui YPU akan sentiasa memberi sokongan kepada para usahawan belia, sama ada dalam bentuk perbincangan, nasihat atau bimbingan.

“Kita mahu mereka bukan sekadar berniaga kecil-kecilan tetapi mampu menjadi usahawan yang berdaya saing, mempunyai jaringan luas serta kekuatan jenama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sembang Usahawan Alumni U-BES di Crystal Cruise, Taman Tamadun Islam, di sini, hari ini.

Program yang merupakan pertama kali diadakan itu berjaya menghimpunkan 40 peserta U-BES dari batch 1.0 - 4.0 (10 orang setiap batch) daripada jumlah keseluruhan seramai 159 peserta sejak mula diperkenalkan.

Menurutnya lagi, antara langkah yang dirancang adalah mendapatkan khidmat pempengaruh terkenal bagi membantu mempromosikan produk serta perniagaan usahawan muda Terengganu.

“Pendekatan ini penting kerana media sosial kini menjadi platform utama pemasaran. Apabila ada wajah dikenali mempromosikan produk, ia akan memberi impak besar kepada penjenamaan dan jualan,” katanya.

UBES merupakan satu inisiatif Terengganu untuk membantu warga muda lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Kemahiran yang tidak berpeluang menyambung pengajian ke institusi pengajian tinggi awam.

Antara keistimewaan program ini adalah penyediaan latihan dan bimbingan oleh tenaga pengajar berpengalaman dalam bidang berkaitan, Geran Peralatan sehingga RM5,000 serta Geran Pembangunan Perniagaan sehingga RM2,000 di samping pemantauan perniagaan.


Tag :

Artikel Berkaitan