Berita :
Terengganu Perlu Kajian Menyeluruh Potensi Mineral, REE - ADUN Manir
Terengganu Perlu Kajian Menyeluruh Potensi Mineral, REE - ADUN Manir
Mastura Jamal Din
1 hari yang lepas
54

KUALA TERENGGANU, 21 April – Kerajaan Negeri Terengganu disaran melaksanakan kajian lapangan menyeluruh atau feasibility study secara profesional bagi menilai potensi sebenar sumber mineral termasuk unsur nadir bumi (REE) di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Hilmi Dato' Harun berkata, kajian tersebut perlu dilaksanakan oleh pakar atau perunding bertauliah bagi memastikan setiap kandungan mineral dapat dikenal pasti dengan tepat serta mempunyai nilai komersial yang boleh dibangunkan.

Menurut beliau, laporan sedia ada daripada Jabatan Tanah dan Galian (PTG) serta Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) tidak mencukupi kerana tidak memenuhi keperluan pelaburan atau bankable report yang diperlukan oleh industri.

“Laporan PTG dan JMG tidak bernilai komersial. Ia bukan bankable. Kita perlukan kajian yang lebih menyeluruh supaya anggaran rizab mineral termasuk REE benar-benar tepat dan boleh menarik pelabur berkualiti,” katanya.

Beliau berkata demikian  ketika membahaskan Titah Diraja dalam  isu berkaitan ekonomi negeri, di Sidang Dewan Undangan Negeri  Kelima Belas di sini hari ini.

Hilmi turut menegaskan, kajian tersebut penting bagi mempercepatkan proses due diligence oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC), selain mengelakkan risiko penipuan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Kita tidak mahu terjebak dengan scammer atau pihak tidak berkredibiliti yang hanya mengambil kesempatan tanpa memberi pulangan kepada negeri,” katanya.

Beliau yakin, dengan data yang lebih lengkap dan diiktiraf industri, sektor mineral mampu menjadi antara pemacu ekonomi baharu Terengganu, khususnya dalam pembangunan industri REE yang semakin mendapat permintaan tinggi di peringkat global.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan