• 28 Apr 2024 | 19 Syawal 1445

Terengganu Perluas Manfaat Teknologi Digital

BANGI, 18 Februari – Terengganu berhasrat untuk menjadi sebuah negeri ‘technologically-advanced economy and digitally-driven state’ iaitu negeri yang akan dipandu oleh teknologi digital dalam pelbagai aspek yang berbeza. 

Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata Bengkel Projek E-Government Negeri Terengganu (BPNT) telah diadakan bagi tujuan berkenaan yang melibatkan beberapa buah agensi kerajaan.

Katanya, antara agensi terlibat seperti Mentri Besar Terengganu Incorporated (MBI), Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS), Terengganu Advanced Joint Digital Intelligent Development (TAJDID), Terengganu Telecommunications Sdn Bhd (TCOM) dan Top IT Industries Sdn Bhd (TOP IT).

“Alhamdulillah, bermulanya bengkel BPNT yang merupakan salah satu di bawah Portfolio saya iaitu Ekonomi Digital yang bertujuan bagi merangka transformasi Terengganu Maju menjelang tahun 2030. 

“Antara agenda yang menjadi keutamaan adalah ekosistem perkongsian data yang merangkumi tadbir urus digital dan platform perkongsian data terjamin untuk memperkasa dan meningkatkan perkhidmatan dalam talian sepenuhnya (E2E) ke arah kerajaan berpacukan data.

“Pembentangan Bengkel Pertama ini melibatkan pembentangan oleh Jabatan Digital Negara (JDN),” katanya dalam hantaran di laman Facebook rasmi miliknya.

Program yang berlangsung selama dua hari itu bertempat di Hotel Tenera Bangi, Selangor.

Tambah Nurkhuzaini, program BPNT berupaya memperkukuhkan lagi bidang kuasa setiap agensi dalam menjalankan gerak kerja.

Di samping itu katanya, bengkel itu membolehkan maklumat diselaras dan dikongsi dengan lebih efisien serta berupaya mengurangkan kos penyediaan infrastruktur dan pengintegrasian sistem.

“Terima kasih kepada JDN kerana telah berkongsi produk-produknya seperti GOSG, MyGDX, Data raya, myGOVUC, PDSA dan DDMS dalam bengkel tersebut. 

“Tidak lupa juga diucapkan terima kasih kepada Jabatan Akauntan Negara dan Cyber Security Malaysia yang telah mengambil bahagian dalam perkongsian maklumat dalam bengkel ini.

“Mudah-mudahan dengan maklumat yang diperolehi dalam bengkel ini dapat memantapkan lagi kerajaan negeri Terengganu dalam penerusan dan perlaksanaan E-Government @ Digital Negeri,” ujarnya.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 


Tag: