• 08 Mei 2024 | 29 Syawal 1445

Terengganu Pertimbang Beri Insentif Atlet Raih Pingat Di Sukan Asia 2018



Kerajaan negeri sedia mempertimbang untuk memberi insentif kepada atlet-atlet negeri ini yang berjaya meraih pingat pada temasya Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang yang bermula 18 Ogos hingga 2 September ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, walau bagaimanapun jumlah dan bentuk insentif tersebut belum diputuskan.

“Pada peringkat awal ini kita akan melihat dan meneliti terlebih dahulu perkembangan yang berlaku.

“Sekiranya tidak ada masalah, InsyaAllah kita boleh fikirkan sesuatu sebagai satu galakan dan penghargaan kerajaan negeri kepada semua atlet yang berjaya mengharumkan nama negara dan negeri,” ujarnya kepada Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) sebaik tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, semalam.

Wan Sukairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam mengetuai rombongan Kerajaan Negeri Terengganu telah berkunjung ke Jakarta selama empat hari sebagai tanda sokongan kepada atlet negeri khususnya yang menyertai Sukan Asia 2018.

Turut bersama menyertai rombongan tersebut, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri, Hishamuddin Abdul Karim, Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Ibni Amin Busu dan Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri (Belia, Sukan dan NGO) Mohd Rahimee Mohd Ramli.

Wan Sukairi berkata, kunjungan tersebut bertujuan memberikan kata-kata semangat buat semua atlet Terengganu yang mewakili negara.

"Mereka bukan sahaja berusaha mengharumkan nama negara, malah telah mengharumkan nama Negeri Terengganu.

“Kita juga menyampaikan sedikit sumbangan kerajaan negeri kepada 35 orang atlet Terengganu yang telah mewakili negara dalam sukan Asia kali ini sebagai salah satu bentuk motivasi untuk mereka,” ujarnya.

Menurut beliau, buat masa ini (petang semalam) Malaysia telah berjaya meraih dua pingat emas, lima perak dan lima gangsa dimana salah satu pingat gangsa telah disumbangkan oleh atlet Terengganu iaitu Mohd Nafiizwan Adnan menerusi acara perseorangan skuasy lelaki.

Tag: