• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Terengganu Pertingkat Keselamatan Kawasan Pelancongan

KUALA TERENGGANU, 25 Mac - Terengganu akan mengambil langkah-langkah proaktif dalam mempertingkat keselamatan orang ramai dan pelancong yang berkunjung ke kawasan pelancongan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan pihak berkuasa tempatan, pegawai-pegawai polis dan agensi-agensi Bomba sejak awal tahun lalu.

“Pertemuan tersebut bagi memastikan bahawa kehadiran pelancong ke negeri ini tidak terkait dengan aktiviti dadah, persundalan dan sebagainya.

“Berkait dengan fenomena alam, semua tempat di Terengganu selamat, tetapi semasa musim Monsun Timur Laut (MTL) para pelancong diingatkan agar berhati-hati ketika melakukan sebarang aktiviti khususnya melibatkan air," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah Program PeliTer@TTI bertempat di Booth Jabatan Pelancongan Negeri (Sebelah Galeri Khat TTI), Tasik Pahlawan, TTI di sini baru-baru ini.

Tambah Razali, pada waktu ini pulau-pulau masih belum dibuka dan pihaknya sedang mengatur program-program untuk para pelancong.

“Kita tidak mampu mengawal semua keadaan yang melibatkan keselamatan namun kita akan melakukan sebaik mungkin,” ujarnya.

 


Tag: