• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Terengganu Peruntuk RM100 Juta Bina SM Imtiaz Marang

MARANG, 18 Julai – Kerajaan Terengganu memperuntukkan RM100 juta bagi membina kompleks Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Yayasan Terengganu Marang di sini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pembinaan tersebut akan dibina di atas tanah berkeluasan 40 hektar di Kampung Tok Muchong, Marang .

Katanya, projek tersebut dijangka bakal siap sepenuhnya pada tahun 2027.

"Kompleks yang menggabungkan konsep reka bentuk moden dan kontemporari itu mampu menempatkan seramai lebih 550 pelajar.

“Setiap tahun Yayasan Terengganu menerima hampir 5,000 permohonan untuk memasuki Imtiaz namun hanya 10 peratus permohonan yang boleh diambil daripada jumlah itu," jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu bertempat di Tapak SMIYT Marang, Kampung Tok Muchong, Marang di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Penerangan dan Dakwah Negeri, Dato' Mohd Nor Hamzah.

Tambah Ahmad Samsuri, SM Imtiaz yang mula beroperasi pada 2017 kini sudah dikenali di merata tempat sebagai satu jenama dalam mencetak kecemerlangan pelajar.

“Kini nama Imtiaz telah dikenali di serata dunia dan telah berkembang ke setiap daerah di Terengganu.

“Kerajaan negeri sentiasa memberi perhatian terhadap prestasi pelajar dan infrastruktur pendidikan Imtiaz menerusi Yayasan Terengganu," katanya.

Sehubungan itu, pembinaan Kompleks Imtiaz Marang ini akan mengukuhkan lagi jenama Imtiaz Yayasan Terengganu sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) terbaik di Malaysia.

“Sekali gus menyokong antara agenda utama Kerajaan Negeri Terengganu ke arah pembentukan modal insan yang kompeten dan minda kelas pertama.

“Pembangunan pendidikan dan pembangunan modal insan menjadi fokus utama kerajaan negeri agar bergerak seiring dengan pembangun an fizikal di negeri Terengganu,” ujarnya.