• 15 Mei 2024 | 7 Zulkaedah 1445

Terengganu Peruntuk RM100,000 Bantuan Pendahuluan Nafkah

KUALA TERENGGANU, 27 April- Kerajaan negeri melalui Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) meluluskan peruntukan sebanyak RM100,000 tahun ini bagi membiayai bantuan pendahuluan nafkah kepada isteri dan anak-anak yang terlibat dengan kes tuntutan di Mahkamah Syariah.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, peruntukan itu disalurkan Maidam kepada Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) yang dikendalikan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu (JKSTR).

Katanya, pendahuluan nafkah itu merupakan bantuan sara hidup yang diberikan kepada ibu tunggal yang diabaikan bekas suami masing-masing.

“Majlis penyerahan bantuan pendahuluan nafkah ini kebiasaannya diadakan dua kali setahun. Pada hari ini kita agihkan kepada 16 penerima yang melibatkan jumlah bantuan sebanyak RM27,000.

“Rata-rata penerima bantuan pendahuluan nafkah merupakan suri rumah atau mereka yang berpendapatan rendah dan termasuk dalam had kifayah asnaf zakat.

“Penerima bantuan ini juga mempunyak anak-anak termasuk yang masih bersekolah dan merupakan golongan yang perlu dibantu kerana bekas suami gagal memberi nafkah anak sebagaimana yang diperintahkan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Bantuan Pendahuluan Nafkah Bahagian Sokongan Keluarga JKSTR Siri 1 Tahun 2024 di Bangunan Mahkamah Syariah Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Ketua Hakim Syarie Terengganu, Dato’ Wan Mohd Zakri Wan Mohd.

Katanya, pendahuluan nafkah tersebut diharap dapat meringankan beban para penerima untuk menguruskan perbelanjaan anak-anak.