Terengganu Serius Teroka Sumber Ekonomi Baharu

KUALA TERENGGANU, 18 April — Komitmen dan kesungguhan Kerajaan Negeri Terengganu dalam meneroka sumber ekonomi baharu yang mampan dan berdaya saing wajar diberikan penghargaan, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor.

Beliau berkata, langkah berani dan berpandangan jauh ini membuktikan bahawa kerajaan negeri tidak hanya bergantung kepada sumber tradisi seperti minyak dan gas semata-mata.

"Sebaliknya, Terengganu sedang giat meneroka pelbagai sumber ekonomi baharu selaras dengan perubahan global ke arah tenaga bersih dan mampan," katanya.

Tambah beliau, usaha mempelbagaikan sektor ekonomi seperti pelancongan, ekonomi digital, pertanian moden, industri halal, tenaga boleh diperbaharui serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dilihat seiring dengan aspirasi negara menuju ke arah ekonomi berpendapatan tinggi.

“Pendekatan ini mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap kelestarian ekonomi jangka panjang serta peningkatan taraf hidup rakyat, khususnya anak muda dan graduan,” ujarnya lagi.

Menurut Zuraida, inisiatif bersepadu ini juga memberi impak besar dalam memperkasakan sosioekonomi luar bandar dan mengurangkan kadar kemiskinan negeri.

Beliau optimis bahawa dengan sokongan padu semua pihak, Terengganu akan terus melonjak sebagai negeri contoh yang membangun secara holistik, berintegriti dan diberkati.


Tag: