• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Terengganu Sumbang RM157,000 Bagi Pusat Islam di Lubnan

KUALA TERENGGANU, 14 Januari - Kerajaan negeri Terengganu melalui anak syarikatnya serta Ahli Mesyuarat Kerajaan negeri menghulurkan sumbangan sebanyak RM157,000 kepada PASRelief bagi membiayai sepenuhnya kos menyiapkan aras tiga Pusat Islam di Arsal, Lubnan.

Sumbangan itu telah disampaikan oleh Terengganu Incorporated Sdn.Bhd (RM40,000), Corporate Advisor Menteri Besar Terengganu Inc (RM20,000), Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, NGO dan Sukan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah (RM 20,000), Eastern Pasific Industrial Corporation Berhad (RM10,000).

Selain itu Kumpulan Medic Iman Health Care Sdn.Bhd (RM10,000), Wakil Ladang Rakyat Terengganu Sdn.Bhd (RM7,000), Permint Granite Sdn.Bhd (PGSB), Syarikat Air Terengganu (RM5,000), Koridor Utiliti Teknologi Terengganu Sdn.Bhd (RM5,000), GPQ Sdn.Bhd (RM5,000), Terengganu Telecomunications Sdn.Bhd (RM5,000)

Manakala Pengkalan Bekalan Kemaman Sdn.Bhd (RM5,000) dan Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Darul Iman Terengganu (RM20,000)

Pengerusi PASRelief, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Pusat Islam itu akan diwujudkan kelas menjahit, makmal komputer, kelas latihan, pejabat dan dapur yang ditaja sepenuhnya oleh pihaknya dan Aid4Lebanon.

"Selain kelengkapan di aras tiga itu, PASRelief juga menaja sistem solar untuk menjana elektrik bagi kegunaan sepenuhnya di Pusat Islam tersebut, kos keseluruhan projek ini adalah sebanyak RM585,000.

"Pusat Islam di Arsal ini mempunyai tiga tingkat iaitu aras pertama dijadikan Majis Jamek, aras kedua dijadikan markaz al-Quran yang ditaja sepenuhnya oleh NGO dari Turkiye,"ujarnya.

Beliau yang juga Menteri Besar Kedah berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran dan Penyerahan Cek Sumbangan Perasmian Pusat Islam Arsal, di Primula Beach Hotel, di sini, semalam.

Turut hadir, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob yang turut menghulurkan sumbangan sebanyak RM10,000.

Mengulas lanjut Sanusi berkata, PAS Relief telah mengetuai Sekretariat Aid4Lebanon berperanan selama ini menunjukkan sokongan dan solidariti terhadap mangsa letupan Amomonium Nitrate di Beirut yang mengorbankan lebih 135 nyawa, mengakibatkan kecederaan lebih 5,000 mangsa, serta ratusan ribu hilang kediaman pada 4 Ogos 2020.

Menurutnya delegasi PASReleif akan ke Lubnan pada 16 Januari ini dan turut mengharapkan sumbangan daripada semua pihak untuk memastikan lebih banyak mangsa pelarian dapat dibantu.

"Tidak lengkap sekiranya misi ke Lubnan ini tidak menyatuni kem-kem pelarian Palestin untuk membantu penduduknya,"ujarnya yang turut menyumbang RM20,000 dalam majlis berkenaan.

Dalam majlis berkenaan selain Terengganu, Kelantan serta beberapa pertubuhan yang lain turut menghulurkan sumbangan sebanyak RM58,000 bagi menjayakan misi pada kali ini.