• 06 Okt 2024 | 03 Rabiul Akhir 1446

Terengganu Terima Kunjungan Duta Palestin

KUALA TERENGGANU, 15 Februari – Kerajaan Terengganu hari ini menerima kunjungan Duta Palestin ke Malaysia, TYT Walid Abu Ali bersama rombongan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata TYT Walid menceritakan sedikit sebanyak tentang isu global yang sedang berlaku kini sekali gus menimbulkan rasa pilu apabila mengenangkan keadaan saudara kita di sana.

“Beliau juga meluahkan rasa terima kasih kepada rakyat Malaysia yang menjadi sebahagian daripada kelompok yang mempertahankan dan menyumbang kepada rakyat di sana.

“Semoga hubungan antara Malaysia dan Palestin dapat diperkukuhkan demi kebaikan kedua-dua pihak,” katanya dalam hantaran di laman facebook rasmi miliknya pada hari ini.

Tambah Ahmad Samsuri, beliau meminta agar rakyat teruskan berdoa dan menyumbang mengikut kemampuan masing-masing sama ada dari segi kewangan, fizikal dan sebagainya. 

Untuk rekod, Terengganu berjaya mengumpulkan sumbangan RM2,414,300 untuk disalurkan bagi membela nasib umat Islam yang sedang ditindas dan sedang berjuang demi membebaskan bumi al-Aqsa.

Tabung yang dilancarkan pada 13 Oktober itu telah diserahkan kepada Sekretariat #Aid4Palestin di Masjid Rusila, Marang pada 5 November lepas.

 

 

 

 

 

 

 


Tag: