• 07 Okt 2024 | 04 Rabiul Akhir 1446

Terengganu Tubuh Pasukan Khas Jaga Kepentingan OKU

KUALA TERENGGANU, 24 April – Kerajaan Negeri Terengganu telah membentuk Pasukan Khas yang akan bertindak sebagai wakil bagi golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dalam usaha memperjuangkan hak dan keperluan golongan terbabit.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim menyatakan bahawa gabungan daripada lapan anggota Badan Bukan Kerajaan (NGO) OKU dan juga Jabatan-Jabatan Persekutuan dan Negeri telah dipilih untuk membentuk pasukan khas bertindak bagi menjaga kepentingan OKU.

“Pada 6 Mac 2024, kita telah melancarkan Majlis Tindakan Orang Kurang Upaya Negeri Terengganu (MTOT).

“Usaha tersebut bertujuan untuk menjadi platform penting bagi menyatukan usaha dan sumber daya dari lapan anggota tersebut,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi penggulungan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri di Wisma Darul Iman, hari ini.

Tambah Maliaman, untuk sama-sama membantu OKU, pihaknya juga telah menubuhkan Skuad Upaya sebagai satu entiti baru yang bertujuan untuk mengangkat golongan OKU dari kedudukan sebagai golongan penerima kepada golongan pemberi. 

“Skuad ini akan menjadi golongan 'frontliner' yang diberi kebenaran oleh gerakan kebajikan untuk turun ke lokasi bagi menyampaikan bantuan kepada golongan sasar dengan lebih cepat dan berkesan," katanya.

Beliau berharap kerjasama yang harmoni dalam pemerkasaan MTOT daripada semua Jabatan Kerajaan yang terlibat.

“Hal ini kerana hanya dengan usaha bersama dan sinergi di antara semua pihak, kita dapat mencapai matlamat untuk meningkatkan kualiti hidup dan menyokong keperluan OKU dengan lebih baik di Negeri Terengganu,” ujarnya.

 

 

 

 

 

 

 

 

 


Tag: