• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Terengganu Unik, Mempesonakan - Peserta Kembara Media Negaraku 2017

Peserta Kembara Media Negaraku 2017 bergambar kenangan di tapak projek pembinaan Jambatan Angkat, komponen pembangunan Pusat Bandar Kuala Terengganu (KTCC) sempena lawatan tiga hari ke Terengganu, berakhir hari ini. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail










Peserta Kembara Media Negaraku 2017 menikmati keseronokan dan teruja dapat melawat pelbagai lokasi serta menikmati makanan berbeza yang disediakan sepanjang tiga hari di Terengganu.
                                                                                                                                                            
Seorang peserta, Muhammad Rizal Redzuan yang juga Editor Tugasan Malaysiaaktif berkata, lawatan ke Terengganu sangat mengujakannya kerana dapat menjalinkan 'networking' baru dengan rakan media daripada pelbagai agensi sama ada media cetak dan elektronik.

"Pelbagai pengalaman baru dapat diterokai bersama peserta termasuk melawat Rumah Komuniti di Besut yang berharga RM20,000 dan hanya mengambil masa 10 hari. Rumah seumpama itu adalah yang pertama di Malaysia.

Sementara bagi Suraida Roslan dari Utusan Borneo Sabah yang pertama kali berpeluang menjejakkan kaki ke Terengganu, berasa cukup teruja dengan kebudayaan dan tradisi masyarakat di sini.

"Seperti semalam, kami dibawa menikmati ICT (ikan celup tepung) di Warung Pok Nong, (Mengabang Telipot), ternyata makanan berasaskan laut itu mula menambat hati saya.

" Selain itu, pembangunan di Terengganu juga unik dan mempesonakan. Pagi tadi, kami melawat pembangunan KTCC, drawbridge yang sangat 'amazing' ala-ala London Bridge yang pastinya akan memberi kemajuan berganda kepada Terengganu,"katanya.

Kembara Media Negaraku 2017 Negeri Terengganu sepanjang tiga hari bermula semalam sehingga 17 Mei ini bertujuan memasarkan maklumat menerusi promosi dan publisiti mengenai usaha dan kejayaan kerajaan dalam pelaksanaan dasar serta perkhidmatan kepada rakyat.

Siri kedua tahun ini selepas yang pertama di Sabah pada 23 hingga 26 Mac lalu melibatkan 24 pengamal media dari 14 agensi media termasuk Sabah dan Sarawak.


Kembara bermula dengan lawatan projek rumah komuniti di Kampung Kenak, Besut sebelum peserta akan dibawa meninjau perkembangan projek mencegah hakisan pantai di Pantai Tok Jembal.

Sementara hari terakhir hari ini, peserta melawat tapak serta mendengar taklimat oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur mengenai pembangunan jambatan angkat (drawbridge)  yang menghubungkan Muara Selatan di Kuala Terengganu dan Muara Utara di Seberang Takir, Kuala Nerus, sebelum mereka meninjau perusahaan madu kelulut dalam bandar Komuniti 1Malaysia Batu Buruk.


Tag: