• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Oleh: Alfian Mamad

KEMAMAN, 27 Julai - Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Hazri Jusoh berterima kasih kepada semua kakitangan dan pegawai Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis Kemaman di atas kejayaan membenteras beberapa siri jenayah dan perjudian di kawasan DUN Kijal.

"Kami ucapkan syabas dan setinggi tahniah kepada pihak Polis Kemaman di atas usaha berserta komitmen tinggi yang telah ditunjukkan dalam membanteras jenayah di daerah Kemaman ini terutama di DUN Kijal.

"Setelah sekian lama sindiket dadah, aktiviti judi ekor dan sabung ayam ini bergerak aktif di Kijal, alhamdulillah akhirnya mereka tumpas juga," ujarnya pada Majlis Keraian Bersama Ketua Polis Kemaman di Resort World Kijal di sini baru-baru ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Abd Hamid yang bergegas pulang dari sidang Dewan Rakyat di ibu negara untuk menghadiri majlis tersebut turut mengucapkan tahniah di atas kejayaan itu.

"Saya ucapkan tahniah kepada pasukan Polis Kemaman kerana telah menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan oleh kerajaan dengan begitu baik walaupun terpaksa menghadapi risiko dan pelbagai cabaran.

"Alhamdulillah dengan kerjasama yang mantap ini akan terus membuahkan kejayaan pada masa akan datang dan saya yakin dan percaya Allah akan berikan kelapangan, kesenangan dan kekuatan kepada anda semua," katanya.

Hadir sama dalam majlis berkenaan, Pegawai Daerah Kemaman, Mohamad Abd. Rahman dan Ahli Majlis Perbandaran Kemaman.

Dalam perkembangan sama, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan merasa terharu dan berbangga kerana usaha pasukan beliau dihargai oleh pemimpin masyarakat setempat.

"Kami akan lakukan tanggungjawab yang diamanahkan ini dengan sebaik mungkin dan ianya tidak akan terhenti di sini. Kami berpegang pada perlembagaan negara, kedaulatan undang-undang serta amar makruf nahi mungkar.

"Jika kita letih kerana kebaikan, maka sesunguhnya keletihan itu akan hilang dan kebaikan akan kekal. Namun jika kita bersenang-senang dengan dosa, maka sesungguhnya kesenangan itu akan hilang dan dosa itu akan kekal," tambahnya lagi.


Tag: