• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

Terima Kasih UniSZA - Wan Sukairi



 
Ustaz Wan Sukairi (tiga dari kanan) menyaksikan pertukaran perjanjian antara UniSZA dengan YPKT. UniSZA diwakili Profesor Dato' Dr Ahmad Zubaidi (kanan) manakala YPKT diwakili Haji Mohd Shafaruddin (kiri).
KUALA TERENGGANU, 27 Disember - Kerajaan negeri mengucapkan ribuan terima kasih kepada Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) kerana memberi sokongan selama dua tahun dalam menilai tahap pemakanan yang terbaik untuk atlet angkat berat Terengganu dengan kos kajian sebanyak RM60,000.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, sukan angkat berat telah menyumbang dua pingat emas, tiga perak dan tujuh gangsa di samping ranking ke-11 dalam acara sukan serta menyumbang pingat kepada negeri sehingga berjaya menjadi juara Sukan Malaysia (SUKMA) XIX 2018.

Katanya, kejayaan atlet angkat berat adalah atas semangat bersama antara jurulatih dan atlet yang dipilih oleh Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), persatuan dan jabatan angkat.

"Justeru, bagi menggandakan pencapaian kejayaan dalam SUKMA, saya berharap semua jurulatih angkat berat Terengganu perlu lebih dedikasi, mempelajari kemahiran-kemahiran baru, mempunyai sistem latihan lebih efektif serta jadual latihan yang sistematik agar pencapaian pingat di Johor pada tahun 2020 meningkat lebih banyak berbanding 2018," tegasnya.

Muhamad Darul Najmi (dua dari kanan) bersama insentif dan hadiah yang diterima semalam.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Meraikan Atlet SUKMA XIX 2018 dan Pertukaran Perjanjian Kerjasama Kajian Pemakanan Sukan Angkat Berat Terengganu di Dewan Utama Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT), Jalan Sultan Omar di sini semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Haji Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman, Pengarah YPKT, Haji Mohd Shafaruddin Mustaffa, Profesor Dato' Dr Ahmad Zubaidi Abdul Latif dan dan Pengarah MSNT, Haji Ibnu Amin Busu.

Wan Sukairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam turut mengucapkan tahniah kepada atlet angkat berat, Muhamad Darul Najmi Dollah yang berjaya mencipta rekod baru dalam acara 69 kilogram 'clean and jerk' lelaki dengan bebanan 164 kilogram.

Dengan kejayaan ini, Muhammad Darul Najmi memadamkan rekod lama Mohd Hafifi Mansor, 163 kilogram, dalam acara yang sama.

Oleh itu, kerajaan negeri berharap pada temasya di Johor tahun 2020, sukan angkat berat memperbaiki kedudukan dengan sasaran pingat lima emas, enam perak dan tujuh gangsa.

"Justru para atlet hendaklah sentiasa melakukan yang terbaik agar SUKMA akan datang bakal melahirkan atlet-atlet muda Terengganu kerana SUKMA adalah platform terbaik bagi mereka mengukir nama di persada sukan kebangsaan dan antarabangsa," ujarnya.

Menurut beliau, Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar telah membentangkan Bajet 2019 di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu baru-baru ini untuk Acara Sukan Dwi Tahunan Sukan Terengganu (SUTERA), sukan teras, sukan peringkat DUN dan membangun satu sukan ekstrem di setiap daerah dengan peruntukan sebanyak RM3.3 juta.

SUTERA katanya, akan diselang selikan acara secara bergilir dengan SUKMA, setiap dua tahun sekali bagi menggalakkan para atlet terus beraksi dan mengekalkan komitmen dan bakat yang ada pada mereka sebagai persiapan SUKMA dan sukan di peringkat serantau dan antara bangsa.

"Inilah semangat yang perlu dipupuk bukan sekadar atas semangat wakil negeri semata-mata tetapi paling penting bersaing bagi melayakkan diri di dalam pasukan kebangsaan dan akan membawa cabaran yang lebih besar di peringkat serantau dan antarabangsa, seperti Sukan SEA, Sukan ASEAN, Sukan Commonwealth dan Olimpik," tegasnya lagi.

Beliau juga menyeru semua atlet angkat berat supaya sentiasa fokus kepada usaha untuk mencapai matlamat yang telah pun disasarkan.

"Saya percaya sekiranya kita sentiasa fokus kepada kejayaan dan berfikir secara positif serta mempunyai keyakinan tinggi dan tidak mengambil sikap sambil lewa, kejayaan akan menjadi milik kita," ujarnya lagi.

Tag: