• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Teruja Saksi Fenomena Gerhana Bulan

Jemaah yang hadir tidak melepaskan peluang melihat gerhana melalui teleskop.
Rata-rata jemaah dan pelajar yang menyaksikan gerhana bulan penuh di Masjid Kampung Padang Mengkuang, Binjai Rendah Marang, pagi semalam mengungkap rasa teruja dengan fenomena itu.

Hassan Husaini.
Pelajar Kolej Al-Quran Terengganu, Hassan Husaini Mahmud, 17, menyatakan keseronokan beliau yang kali pertama melihat lebih jelas gerhana bulan penuh.

"Kemudahan yang disediakan membantu saya melihat lebih jelas proses gerhana. Saya harap, ini satu permulaan untuk saya mencari lebih pendedahan dalam dalam ilmu astronomi," katanya.

Manakala Raihana Mahmud Shukri, 18, pelajar Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu  gembira dapat melihat proses gerhana dari awal hingga ke akhir.

Raihana.
"Ini kali pertama. Saya dapat rasa kehebatan Allah SWT yang menciptakan gerhana dan berharap saya dapat mendalami ilmu falak pada masa akan datang untuk melihat lebih banyak keajaiban alam," katanya dalam program Jom Tengok Gerhana Bulan Penuh anjuran Jabatan Mufti Negeri itu.

Abdullah Salleh.
Dalam pada itu, pengerusi masjid, Abdullah Salleh, 65, berpendapat program itu bagus terutama dan memberi pendedahan kepada orang ramai terutama ahli qariah mengenai gerhana.

"Dulu orang banyak persepsi khurafat apabila berlaku gerhana, sekarang kita dapat tahu proses gerhana dan melihat dengan jelas. Semoga akan ada lagi program-program baru yang boleh dilaksanakan di masjid ini," katanya.

Beliau turut bersyukur dapat mengimarah masjid dengan kehadiran ramai orang untuk solat sunat gerhana.





Tag: