• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

TFC II Juara Sulung Challenge Cup

Ustaz Wan Sukairi (berkopiah tengah) meraikan kejuaraan sulung Challenge Cup di tangan TFC II di Stadium Sultan Ismail Nasarudin Shah Kuala Terengganu.
KUALA TERENGGANU - Sejarah baharu tercipta apabila buat pertama kalinya Pasukan Terengganu Football Club II (TFC II), menjuarai Piala Cabaran (Challenge Cup) mengalahkan UKM FC dua gol tanpa balas di Stadium Sultan Ismail Nasarudin Shah di sini, semalam (15 Oktober).

Sehubungan itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Ustaz Wan Sukairi Abdullah mengucapkan tahniah kepada pasukan TFC II atas kejayaan cemerlang itu.

Beliau juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua penyokong dan peminat yang terus-menerus memberi sokongan kepada pasukan berkenaan.

"Tahniah TFC II yang menjadi juara Challenge Cup 2018. Terima kasih diucapkan kepada semua penyokong dan peminat yang terus-menerus memberikan sokongan kepada Terengganu FC II," katanya dalam satu kenyataan kepada Urusetia Penerangan Darul Iman , hari ini (16 Oktober).

Pemain TFC II diapit empat pemain UKM FC antara aksi menarik Piala Challenge Cup di Stadium Sultan Ismail Nasarudin Shah. TFCII menang dua gol tanpa balas. 
Stadium Sultan Ismail Nasarudin Shah menjadi saksi, Terengganu muncul pasukan pertama, menjuarai Challenge Cup iaitu piala yang baharu diperkenalkan dalam kancah Liga Malaysia.

Terengganu FC II dinobatkan sebagai juara edisi sulung Challenge Cup 2018 setelah menewaskan UKM FC dengan dua jaringan tanpa balas.

Lebih manis kejayaan ini disambut di hadapan ribuan penyokong Hitam dan Putih yang turut sama meraikan detik bersejarah tersebut.

Dua jaringan daripada penyerang utama, Akanni Sunday pada minit ke-22 dan ke-53 melenyapkan impian UKM FC yang tampil untuk mencabar skuad TFC II.

Corak permainan menarik yang dipamerkan anak buah Tengku Hazman nyata gagal memberi ruang buat UKM FC melepasi gawang yang dikawal kemas Shamirza Yusof.


Tag: