• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

TFC, XFOX Batal Tajaan Demi Keharmonian Kelab

KUALA TERENGGANU, 11 Jun - Terengganu FC (TFC) dan XFOX Market Holdings Sdn Bhd mencapai kata sepakat hari ini untuk membubarkan perjanjian tajaan bernilai RM1.5 juta demi keharmonian pasukan.

TFC berkata, tajaan bagi kejohanan Piala Shoppe AFF yang dimeterai pada 9 Jun itu ditamatkan secara bersama tanpa sebarang tuntutan antara kedua-dua pihak. 

Katanya, ia dibuat agar kelab dapat mengharungi pelbagai cabaran mendatang tanpa sebarang isu setelah banyak tohmahan muncul terhadap pasukan susulan tajaan itu.

"Pihak TFC akan memulangkan kembali bayaran penajaan pihak syarikat penaja sebanyak RM1.5 juta yang telah selesai dilunaskan penaja," jelas kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, dalam tempoh berbaki, pihak TFC akan terus berusaha untuk mendapatkan penaja bagi kejohanan berkenaan.

"Semoga dengan keputusan ini akan memberikan keharmonian buat TFC, XFOX dan semua penyokong-penyokong kelab," ujar kelab terbabit.

TFC turut menjelaskan, proses untuk memuktamadkan penajaan itu melalui proses yang menjadi kelaziman bagi pihak TFC seperti penaja-penaja lain. 

"Walaupun begitu, setelah tular perjanjian penajaan ini, munculnya suasana yang kurang sihat dalam media sosial dengan pelbagai tohmahan. Ia sekali gus menjejaskan keharmonian kelab.

"Pihak TFC bersedia untuk bekerjasama dengan pihak XFOX Market Holdings Sdn Bhd setelah melihat dan menyaksikan sendiri operasi perjalanan syarikat khususnya XFOX Arena di Subang Bestari yang menyediakan Padang Bola Sepak Sintetik yang dilihat bersesuaian dengan perjalanan TFC sebagai sebuah kelab bola sepak. 

"Selain itu, pelbagai lagi perniagaan yang dijalankan oleh pihak XFOX Market Holdings Sdn Bhd. 

"Walau bagaimanapun, kerjasama ini dipandang dari sudut yang berbeza oleh pelbagai pihak. Malah TFC juga mendapat simpati daripada pihak penaja dengan suasana ini," tambah beliau.


Tag: