lightning-solid
Berita :
THD 2026 : Angkat Peranan Lelaki 'Qawwam' Pelindung Wanita
THD 2026 : Angkat Peranan Lelaki 'Qawwam' Pelindung Wanita
Rohayati Ripin
1 jam yang lepas
51

KUALA TERENGGANU, 3 Februari – Terengganu Hijab Day 2026 menampilkan pendekatan baharu kempen kesedaran tahun ini dengan mengangkat tema 'Lelaki Qawwam Pelindung Wanita', yang memberi penekanan kepada peranan kaum adam sebagai pelindung dan pembimbing hawa dalam institusi keluarga dan masyarakat.

Pengarah Urus Setia Wanita Terengganu, Tuan Roslina Tuan Sulaiman berkata, tema berkenaan dipilih bagi memastikan kefahaman terhadap konsep hijab tidak terhad kepada pemakaian tudung semata-mata.

Sebaliknya katanya, ia merangkumi aspek akhlak, tingkah laku dan tanggungjawab bersama antara lelaki serta wanita.

Katanya, USWa dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) akan menerbitkan khutbah Jumaat bertajuk 'Lelaki Qawwam Pelindung Wanita' di semua masjid seluruh negeri sepanjang bulan Februari.

“Tahun ini, pendekatan dakwah di peringkat daerah turut diubah apabila USWa tidak lagi memfokuskan lokasi tumpuan awam seperti pasar malam, sebaliknya memberi keutamaan kepada kawasan perumahan sebagai usaha mendekati golongan sasaran yang kurang berpeluang menghadiri program besar,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.

FB_IMG_1770098756601.jpg 121.4 KB
Beliau turut memaklumkan, USWa bekerjasama dengan JHEAT dalam pengedaran buku berkaitan aurat wanita bagi memperkukuh kefahaman masyarakat, berbeza dengan kaedah edaran risalah yang dilaksanakan sebelum ini.

“Kempen kesedaran itu dilaksanakan melalui khutbah Jumaat, ceramah di setiap daerah, penglibatan pempengaruh media sosial serta penganjuran pelbagai pertandingan,” ujarnya.

Beliau menambah, kempen yang memasuki tahun keenam penganjurannya itu turut memberi tumpuan kepada penglibatan lelaki dalam program peringkat negeri dan daerah bagi memperjelaskan konsep qawwam, selain membuka penyertaan kepada masyarakat daripada pelbagai latar belakang.

“Buat tahun ini pihak kami jemput pihak intitusi pengajian tinggi dan sekolah  hadir ke program manakala untuk pelaksanaan kempen di sekolah dan institusi pengajian tinggi pula dirancang bermula tahun 2027,” tambah beliau lagi.

Justeru itu, beliau menyeru kepada semua orang ramai khususnya rakyat negeri Terengganu agar sama-sama hadir memeriahkan lagi sambutan Terengganu Hijab Day 2026 pada 12 Februari di Dewan Arena, Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak.


Tag :

Artikel Berkaitan