• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

“The Benang Menari” Perkasa Ibu APS Cari Sumber Pendapatan

Oleh : Rohayati Ripin

KUALA TERENGGANU, 25 Mac – Projek “The Benang Menari” adalah koloborasi di antara Fakulti Sains Sosial Gunaan  UniSZA dan Kolej Komuniti Terengganu yang melibatkan lima ibu-ibu Anak Permata Syurga (APS) bagi memperkasakan mereka mencari sumber pendapatan sendiri.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, selama lapan minggu mereka belajar berkaitan jahitan baju kurung, telekung dan langsir.
 
“Saya percaya bahawa keluarga yang mempunyai anak Cerebral Palsy juga perlu  dibantu dari sudut pemerkasaan ekonomi, agar kita tidak terlalu bergantung kepada bantuan kewangan daripada Kerajaan.

“Saya amat tertarik dan akan berusaha untuk memastikan projek –projek pemerkasaan ekonomi keluarga APS seperti jahitan, tanaman sayur, dan kerepek akan terus berkembang ke peringkat yang lebih berjaya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika merasmikan Majlis Perasmian Rumah Terapi Seni Anak Permata Syurga Terengganu Dan Penyampaian Sijil Jahitan di Rumah Terapi Seni Anak Permata Syurga Terengganu, Kampung Gelugor Kedai, pada hari ini.

Hadir sama dalam majlis itu, isterinya, To’ Puan Zarani Othman yang juga Pengerusi Mawaddah Terengganu, To' Puan Nurul Izzati Mat Jusoh, Dekan Fakulti Sosial Sains Gunaan, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof Dr Norizan Abdul Ghani, Pengarah Kolej Komuniti Terengganu, Ali Mamat, Ketua Inspektor Penjara Marang, Wan Shamsul dan Pengerusi Jabatan Pembangunan dan Kemajuan Kampung (JPKK) Kubang Durian, Razali Mohd.

Menurutnya, usaha murni ini akan lebih signifikan apabila mendapat kerjasama padu daripada agensi – agensi kerajaan, pimpinan kerajaan Negeri dan pihak swasta.

Sementara itu, beliau merasa gembira apabila dimaklumkan tentang kewujudan Persatuan Kebajikan Anak Permata Syurga Terengganu (APS) yang menaungi anak – anak Cerebral Palsy di negeri Terengganu. 

“Penubuhan NGO ini adalah satu langkah yang sangat mulia, dan patut disokong oleh semua pihak.

“Saya difahamkan, APS telah mengorak selangkah lagi dengan penubuhan Rumah Terapi Seni Anak Permata Syurga Terengganu yang menjadi pusat sehenti kepada pelbagai aktiviti terapi, pemulihan cara kerja, ekonomi dan sokongan psikologi kepada keluarga – keluarga yang mempunyai anak OKU Cerebral Palsy,” jelas Dato Yahaya.


Justeru itu, beliau mengucapkan tahniah dan syabas kepada Pengerusi APS, Puan Azita dan semua AJK yang berkorban masa, tenaga dan wang ringgit menyantuni anak –anak Cerebral Palsy dan keluarga mereka.


“Saya juga mengucapkan syabas kepada pengurusan Kolej Komuniti Kuala Terengganu kerana turut sama memenuhi tanggungjawab sosial korporat.

 “Semoga semua usaha ini dibalas dengan ganjaran Syurga oleh Allah SWT,” tambah Yahaya lagi.


Tag: