• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

THT Lakar Hatrik Juara Berganda


Pasukan Hoki Terengganu (THT) berada di dalam kelasnya yang tersendiri apabila berjaya mempertahankan kejuaraan Piala TNB buat kali ketiga berturut-turut, apabila menewaskan Sapura 3-0 dalam aksi final yang berlangsung di Stadium Tun Razak, Kuala Lumpur, malam tadi.

Dengan kejayaan itu, turut menjadikan THT sebagai perangkul kejuaraan berganda bagi Liga Hoki Malaysia (MHL) dan Piala TNB buat kali ketiga berturut bermula 2014 sehingga kini.

Dalam perlawanan malam tadi, THT yang dikendalikan oleh Sarjit Singh mula membuka tirai jaringan seawal minit keenam melalui pemain import Korea Selatan, Jang Jong Hyun menerusi pukulan sudut penalti.

Tertinggal satu jaringan gol di belakang, Sapura yang sedang ghairah mencari gol penyamaan ternyata gagal memecah kebuntuan untuk mencari penyudah apabila sering dipatahkan oleh barisan pertahanan serta penjaga gawang THT, Hafizuddin Othman.


Dalam keghairahan pemain Sapura menyamakan kedudukan, THT sebaliknya menambah derita lawan apabila menjarakkan kedudukan menerusi pemain kelahiran Argentina, Nicolas Enrique Della Torre hasil pukulan ‘reverse stick’ untuk menjadikan keputusan 2-0 pada minit ke-22.

Pada minit ke-51, THT makin bersemangat dan terus menambah jaringan melalui Jong Hyun menerusi pukulan sudut penalti untuk menamatkan persaingan dengan jaringan selesa.

Dengan kemenangan tersebut, THT membawa pulang trofi serta wang tunai sebanyak RM100,000.

Selain dari memenangi Piala TNB dan kejuaraan MHL, dua pemain THT turut menerima anugerah penjaring terbanyak dan pemain terbaik perlawanan.
Jang Jong Hyun dinobatkan sebagai penjaring terbanyak kejuaraan MHL dengan 16 gol manakala Fitri Saari dinobatkan sebagai pemain terbaik untuk perlawanan semalam. Masing-masing menerima wang tunai berjumlah RM2,000 seorang.

Tag: