• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

THT Ulangi Kejuaraan MHL Buat Kali Ketiga





Pasukan Hoki Terengganu (THT) mengulangi sejarah apabila muncul juara buat  tiga kali berturut-turut Liga Hoki Malaysia (MHL) 2016 selepas menewaskan Tenaga Nasional Berhad (TNB) 3-1 dalam perlawanan final, di Stadium Hoki Batu Burok, Kuala Terengganu, semalam.

Ketua jurulatih pasukan tersebut, Sarjit Singh berkata, pencapaian dan kejayaan itu amat membanggakan beliau, apatah lagi berjaya mempertahankan status kejuaraan yang disandang sejak 2014 itu. 

“Walaupun untuk lima perlawanan awal, kita bermula perlahan apabila hanya memperoleh tujuh mata. Namun kita bangkit untuk lima perlawanan terakhir dengan mengumpul 15 mata lagi menjadikannya 22 mata.

“Untuk menang ianya mudah, tapi bagi mengekalkan kejuaraan sebanyak tiga kali berturut-turut bukan sesuatu yang mudah,” katanya kepada pemberita.


Kelebihan bermain di laman sendiri digunakan sepenuhnya apabila THT membuka jaringan seawal minit kelima menerusi pukulan penalti bekas pemain kebangsaan, Mohd Fitri Saari.

Pada minit ke-18, asakan yang dilakukan membuahkan hasil apabila Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil membuka ruang untuk pasukan tuan rumah menjarakkan jaringan melalui gol padang.

Bersambung babak kedua, THT terus mempamerkan aksi garang apabila Ismail Abu berjaya menyudahkan hantaran kapten pasukan, Mohd Faisal Saari pada minit ke-31 menerusi gol padang.

Namun demikian, berselang seminit kemudian, TNB yang ketinggalan berjaya memecahkan kebuntuan apabila berjaya merapatkan kedudukan menerusi gol padang oleh Muhammad Ramadan Rosli.

Dengan kemenangan 3-1 tersebut, THT yang mempertahankan kejuaraan sejak 2014 meraih wang tunai RM100,000, piala pusingan berserta medal.

Tag: