• 28 Apr 2024 | 19 Syawal 1445

Tiada Aktiviti Mencurigakan Babitkan Ajaran Ayah Pin

BESUT, 18 Mac - Isu 'ajaran Ayah Pin' yang dikatakan aktif semula sebagaimana dakwaan segelintir pihak di media sosial sedang diambil perhatian oleh pihak berkuasa. 

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata beliau telah bertemu pihak berautoriti di kawasan kegiatan Ayah Pin untuk mendapatkan kepastian.

"Saya bertemu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin, Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad, kakitangan Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Besut, Pejabat Agama Daerah Besut dan termasuk Pejabat Daerah Besut, bagi menyiasat isu ini.

"Alhamdulillah hasil daripada pertemuan tersebut saya boleh rumuskan secara fizikalnya tidak ada di sana aktiviti-aktiviti yang mencurigakan cuma lebih kepada khabar angin. 

"Tidak ada laporan secara jelas wujudnya aktiviti-aktiviti yang bercanggah dengan ajaran Islam sebagaimana yang dilakukan oleh pengikut-pengikut Ayah Pin satu ketika dulu," ujarnya. 

Beliau yang juga ADUN Batu Buruk berkata demikian ketika ditemui selepas pertemuan tersebut di 'Perkampungan Ayah Pin', Kampung Batu 13, Hulu Besut di sini semalam.

Namun begitu katanya, pemantauan akan terus dilakukan bagi membendung ajaran terbabit.

"Kita  perlu menyedari bahawa bagi kita pihak berkuasa, kita hanya mengukur secara fizikal apa yang dapat dilihat. Apa yang dalam fikiran kita tidak tahu, kita hanya ukur secara zahir

"Usaha-usaha untuk memberikan kesedaran, pendidikan, bimbingan kepada mereka ini hendaklah dilakukan secara berterusan," katanya.

Beliau turut berpesan kepada seluruh umat Islam sama ada di Terengganu ataupun luar negeri itu supaya mengelakkan diri daripada terlibat dengan aktiviti-aktiviti mencurigakan dan boleh menyebabkan terpesong daripada ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.

Katanya, sebagaimana maklum 'ajaran Ayah Pin" adalah satu ajaran yang diklasifikasikan sebagai sesat dan bercanggah dengan akidah Islam.

"Jadi saya harap supaya seluruh umat Islam perlu berwaspada dan kita hendaklah sentiasa mendampingi majlis-majlis, kuliah-kuliah, program-program agama untuk memupuk akidah Islam dan kefahaman Islam dalam diri kita, 

"Dan menyelamatkan kita daripada fahaman-fahaman dan ajaran-ajaran yang bercanggah dengan Islam," jelasnya lagi.


Tag: