• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Tiada Bazar Aidilfitri di Terengganu Pada Malam Raya

MARANG, 5 Mac -Kerajaan negeri mengeluarkan arahan kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) agar tidak membenarkan pengoperasian bazar Aidilfitri pada malam 1 Syawal.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, langkah itu mengulangi penguatkuasaan tahun terdahulu bagi memberi laluan kepada kerja pembersihan sebelum menjelang hari raya Aidilfitri.

"PBT sudah memaklumkan perkara ini kepada penganjur di dalam taklimat yang diadakan sebelum ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Terengganu Kali Pertama 2024 di Bilik Mesyuarat Majlis Daerah Marang di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan kKrajaan Negeri akan berkolaborasi dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi membuka Bazar Rahmah di lapan lokasi membabitkan setiap daerah di Terengganu sepanjang Ramadan kali ini.

Kata Wan Sukairi, melalui Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) itu, pengunjung Bazar Ramadan Rahmah bakal menerima e-dompet bernilai RM20 seorang melalui operator atau penyedia platform e-dompet yang bekerjasama dengan kementerian itu.

“Manakala peniaga yang menyediakan Menu Rahmah turut berpeluang mendapatkan diskaun RM50.

“Inisiatif ini ditawarkan kapada 1,000 pelanggan terawal di Bazar Rahmah yang mengambil bahagian,” ujarnya.

Katanya, secara tidak langsung program ini dapat menggalakkan peniaga berdaftar membekalkan satu Menu Rahmah dimana harga di bawah RM5.


Tag: